Sebak ambil sijil konvo bapa

Sinar Harian
Ogos 27, 2023 12:55 MYT
Alif Alimi Ashraf, 22, naik ke pentas menerima Sijil Kejuruteraan Mekanikal pada Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) pada Sabtu. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM : Seorang anak tidak dapat menahan sebak ketika menerima sijil bagi pihak bapanya, Allahyarham Mohd Rozahar Mohd Nor, 50, yang meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru Selasa lalu.
Alif Alimi Ashraf, 22, naik ke pentas menerima Sijil Kejuruteraan Mekanikal pada Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) pada Sabtu.
Situasi tersebut turut mengundang sebak para hadirin yang berada di Dewan Al Jazari dekat sini.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Muhamad Rumzi Mamat yang menyampaikan sijil berkenaan sempat memeluk dan menenangkan Alif Alimi.
Menurut Alif Alimi, bapanya bertugas sebagai Penolong Kanan Pengeluaran, Jabatan Lukisan Elektrisola (M) Sdn Bhd menyambung pengajian peringkat sijil di bawah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat Kursus Terlanggan di PSA.
"Arwah ayah sudah lama menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran namun tertangguh akibat faktor kerja dan keluarga.
"Ayah sangat teruja bila dapat sambung belajar dan sangat komited dalam pelajaran sehingga sanggup berulang alik ke PSA dari rumah kami di Janda Baik, Pahang setiap hujung minggu," katanya pada Majlis Konvokesyen PSA Kali ke-24 pada Sabtu.
Alif Alimi tiba di PSA bersama adiknya, Alissa Atasha,19.
Seramai 1,571 graduan menerima sijil pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu. - Sinar Harian
#Majlis Konvokesyen #bapa meninggal dunia #anak yatim #penerima sijil
;