Sebahagian Jalan Grogo, Bau-Lundu runtuh

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 16, 2021 14:49 MYT
Kes tanah runtuh ini sudah mendapat makluman pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bau dan JKR Sarawak. - Foto Astro AWANI
BAU: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika melalui Jalan Grogo, Bau-Lundu susulan kejadian tanah runtuh yang meranapkan sebahagian daripada jalan dua hala tersebut.
Ekoran itu, kesesakan jalan raya berlaku di sepanjang tiga kilometer dari kedua-dua arah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, kejadian tanah susur itu disedari bermula pada 13 Januari lalu.
"Pergerakkan tanah itu disedari empat hari lalu sehingga hari ini bencana itu semakin teruk dengan keadaan cuaca hujan berterusan dan mengakibatkan tanah runtuh berlaku.
"Bagaimanapun kerja-kerja baik pulih sedang dilaksanakan dengan segera melibatkan pihak bertanggungjawab antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Telekom Malaysia, dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB)," katanya semasa dihubungi Astro AWANI hari ini.
Henry turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika melalui jalan tersebut terutama ketika waktu malam.
"Saya juga menasihatkan agar pemandu kenderaan berat seperti lori tidak menggunakan jalan tersebut kerana struktur tanah yang masih tidak selamat," tambahnya.
Kes tanah runtuh ini sudah mendapat makluman pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bau dan JKR Sarawak.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau Tawang Lingem ketika dihubungi berkata, pihaknya akan berada di tempat kejadian sekiranya berlaku kecemasan.
#Jalan Grogo #Bau-Lundu #tanah runtuh #kesesakan jalan raya #ADUN Tasik Biru #Henry Harry Jinep #banjir #hujan lebat
;