Sebahagian Jalan Chikus di Langkap putus akibat banjir
Bernama
Januari 5, 2021 12:38 MYT
Januari 5, 2021 12:38 MYT
IPOH: Jalan Chikus di Langkap, Teluk Intan dekat Tanah Perkuburan Attaduri terpaksa ditutup sepenuhnya sejak semalam selepas separuh daripada laluan itu putus akibat banjir yang melanda daerah Hilir Perak sejak Ahad lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Zolkafly Harun berkata panjang laluan yang putus dalam insiden kira-kira pukul 10 pagi semalam adalah 100 meter.
"Menurut Jabatan Kerja Raya Seksyen Langkap, jalan itu terputus akibat limpahan air Sungai Batang Padang berikutan banjir yang melanda," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Zolkafly berkata papan tanda amaran telah dipasang di kawasan terlibat dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA