Sebahagian besar minyak sawit Malaysia lestari, tidak jejas alam sekitar - RSPO

Luqman Hariz
November 8, 2019 11:08 MYT
Penduduk Eropah bertanggapan bahawa memboikot produk sawit adalah cara termudah untuk menghentikan kemusnahan alam sekitar. - Gambar hiasan
Sebahagian besar minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia tidak memusnahkan alam sekitar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), Datuk Darell Webber, gesaan untuk memboikot minyak sawit keluaran negara ini tidak munasabah.
Pada 2017, Kesatuan Eropah (EU) meluluskan usul untuk menghentikan penggunaan minyak sawit bagi penjanaan tenaga biofuel menjelang 2030.
Ini katanya, didorong oleh amalan perladangan kelapa sawit yang tidak mesra alam di negara pengeluar seperti Malaysia dan Indonesia.
Keputusan pada 2017 ini turut menguatkan sentimen umum di Eropah untuk memboikot semua produk yang menggunakan minyak sawit.
“Pendirian negara-negara Eropah mengenai minyak kelapa sawit dibentuk oleh rakyat mereka.
“Pendapat rakyat Eropah mengenai minyak sawit dipengaruhi oleh isu jerebu, laporan orang utan dibunuh dan baru-baru ini, gajah pygmy yang ditembak turut dikaitkan dengan ladang (kelapa sawit),” katanya ketika menghadiri Persidangan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari di sini pada Selasa.
Beliau menambah, ada dalam kalangan penduduk Eropah yang mudah membuat kesimpulan dan mengaitkan semua insiden ini dengan aktiviti perladangan kelapa sawit.
Justeru, penduduk Eropah bertanggapan bahawa memboikot produk sawit adalah cara termudah untuk menghentikan kemusnahan alam sekitar.
Darell berkata persepsi ini nyata terpesong.
Di Malaysia, seluas 3.19 juta hektar atau 55 peratus daripada tanah ladang kelapa sawit disahkan lestari mengikut Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat ini.
Pekebun kecil kelapa sawit dari Johor, Sahani Nasran yang ditemu bual Astro AWANI berkata wakil dari EU bebas ‘turun padang’ dan meninjau amalan perladangan kelapa sawit di Malaysia.
“Saya sebagai pekebun kecil ikut arahan, selalu menjaga alam sekitar dengan baik, penjagaan kebun dengan baik, penjagaan pekerja dengan baik.
“Wakil dari Eropah pun ada datang kebun kami dan menyatakan tiada bukti (kemusnahan alam sekitar). Dah datang tengok. Buah sawit yang jatuh pun dia dah periksa, tanah sekitar pun dah tengok.
“Memang betul, memang tiada (kemusnahan alam sekitar), tanggungjawab semua,” katanya.
Sementara itu kata Darell, semua pihak bertanggungjawab memartabatkan produk yang dihasilkan daripada minyak sawit lestari.
Ini bagi mendorong semua penanam mengusahakan sawit mereka tanpa menjejaskan alam sekitar.
Tambahnya, promosi juga perlu ditambah baik supaya pengguna memilih produk minyak sawit lestari walaupun ia mungkin lebih mahal.
“Jika anda memudahkan pengguna untuk membeli produk yang mampan, mereka akan membelinya.
“Daripada meletakkan produk yang tidak mampan di lokasi-lokasi utama di kedai, letakkan produk yang mampan di tempat berkenaan dan mudahkan produk ini dibeli di kedai dan pasar raya,” katanya.
Katanya, pengguna sanggup berbelanja lebih untuk membeli barangan yang menggunakan minyak sawit lestari.
Bagaimanapun Darell berkata, seruan untuk amalan penanaman lestari bukan sahaja mempengaruhi industri sawit.
“Semua komoditi menghadapi pengawasan yang sama seperti kelapa sawit. Mereka yang tinggal di Asia Tenggara mungkin tidak sedar kerana di sini tak banyak liputan berita mengenai tekanan untuk amalan penanaman kapas, soya, atau balak secara lestari,” ujarnya.
Katanya, kini terdapat banyak tekanan untuk amalan perladangan semua komoditi berubah.
“25 peratus daripada pelepasan karbon di dunia dikaitkan dengan pertanian, jadi seluruh industri pertanian akan dipersoalkan.
“Jadi pemain industri sawit dan semua tanaman lain akan sentiasa berjaga-jaga sekarang, kerana mereka sedar bahawa pasaran mereka boleh hilang sekiranya mereka tidak membantu menangani bencana iklim yang melanda kita sekarang, katanya.
Persepsi negatif terhadap perladangan kelapa sawit menyumbang kepada kejatuhan harga komoditi itu daripada lebih RM3,000 setan pada 2017, kepada kira kira RM2,500 setan hari ini.
#Darell Webber #EU #kelapa sawit #Kesatuan Eropah #Ketua Pegawai Eksekutif Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestar #Malaysia #minyak #RSPO
;