"Sebahagian akta terkait media sudah lapuk dan perlu dimansuhkan" - Johan Jaaffar

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 30, 2022 18:47 MYT
Tan Sri Johan Jaaffar berpandangan, beberapa akta lama yang masih digunakan terhadap pengamal media di negara ini perlu diubah atau dimansuhkan.
PETALING JAYA: Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berpandangan, beberapa akta lama yang masih digunakan terhadap pengamal media di negara ini perlu diubah atau dimansuhkan.
Menurutnya, sebahagian akta yang diguna pakai sejak sekian lama itu sudah lapuk dan tidak lagi sesuai malah menjadi penghalang terhadap kebebasan media yang sepatunya diamalkan.
Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu yang pernah mengkritik perkara yang sama sebelum ini mengulangi pendirianya bahawa sudah sampai masanya media di negara ini bebas daripada kekangan yang tidak sepatutnya.
Bahkan, Malaysia, tegas beliau, masih lagi mengekalkan banyak akta berkait media yang sebenarnya sudah tidak lagi sesuai dipraktikan serta dilihat hanya berfungsi untuk menjaga kepentingan pihak tertentu terutamanya membabitkan kerajaan untuk mengekalkan kuasa.
"Salah satunya akta Printing Press (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984) yang masih kekal hingga ke hari ini. Ini adalah sesuatu yang saya fikir sudah hampir-hampir tidak relevan lagilah.
“Tetapi benda (akta) itu masih ada dan menjadi masalah bagi pengendali media. Sepatutnya hari ini sudah diteliti lebih awal,” katanya pada majlis pelancaran platform penyedia maklumat dalam talian, ApaKhabar.com, di sini, hari ini.
Perubahan politik dengan pertukaran tampuk kepimpinan negara ketika ini juga, jelas beliau, merupakan masa paling sesuai untuk menyaksikan berlakunya perubahan yang dimaksudkan.
Dalam masa yang sama, kata Johan, kebebasan yang diinginkan itu sudah tentunya bukan bererti mutlak sepenuhnya tanpa batasan, sebaliknya, perlu diamalkan dengan penuh etika dan tanggungjawab oleh pengamal media.
Beliau turut menegaskan agar cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia dikendalikan oleh mereka yang terlibat dengan industri kewartawanan agar ia tidak cenderung untuk menjadi salah satu instrumen yang akan dikaitkan untuk menjaga kepentingan kerajaan yang ada.
“Saya akan sentiasa meyokong kalau Majlis Media Malaysia digerakkan oleh pihak industri, Ini pendirian saya daripada dulu.
“Tetapi sekiranya inisiatif ini diambil oleh kerajaan maka akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal media sendiri kerana mereka khuatir Majlis Media Malaysia ini akan dipergunakan oleh pemerintah untuk tujuan kawalan dan sebagainya,” jelas beliau lagi.
#Kuala Lumpur #Media #wartawan #Malaysia
;