'Sebagai seorang Islam, saya malu....'
Mohd Dzulfitri Md Yusuf
September 24, 2018 07:47 MYT
September 24, 2018 07:47 MYT
"Sebagai seorang Islam, saya malu apabila negara Islam tidak diuruskan dengan baik."
Demikian yang diungkapkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin ketika menyampaikan syarahan perdananya di Pusat Pengajian Islam Oxford di sini.
“Saya malu apabila negara Islam tidak diuruskan dengan baik sehingga orang Islam sendiri lari untuk tinggal di negara bukan Islam,” jelas beliau.
Menurut Dr Mahathir, ramai umat Islam yang bertindak sedemikian kerana negara asal mereka terlibat dengan kekacauan dan keganasan.
Kebanyakan negara Islam pula, katanya, selesa untuk mewarisi sistem pemerintahan monarki yang mempunyai kuasa mutlak.
Ini menyebabkan banyak penyelewengan berlaku dalam pentadbiran negara Islam.
Malah, menurut Dr Mahathir, sekiranya berlaku perubahan dalam sistem pemerintahan yang lebih demokratik, negara Islam masih gagal untuk memahami kuasa demokrasi yang ada.
“Setiap kali negara Islam mahu amalkan sistem demokrasi, mereka akan bergaduh sesama sendiri, sehingga negara mereka musnah.
“Ini masalah yang tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat,” kata Dr Mahathir dalam ucapan pertamanya di negara Barat selepas menjadi Perdana Menteri ke-7.
Perdana Menteri menyampaikan syarahan bertajuk ‘Cabaran Tadbir Urus Baik dalam Dunia Islam’ yang disifatkannya satu peristiwa bersejarah di pusat pengajian itu.
Pada 1996, ketika menjadi Perdana Menteri ke-4, Dr Mahathir pernah menyampaikan ceramah yang terkenal bertajuk ‘Islam, Agama yang Diselewengkan’.
#arab spring
#kuasa mutlak
#lari
#Mahathir Mohamad
#monarki
#Muslim
#negara Islam
#Oxford
#sistem pemerintahan monarki
#United Kingdom