'Sebagai orang kenamaan, King Sing seharusnya lebih menghormati undang-undang negara' - KPISM
Hilmi Malik
Julai 1, 2023 19:10 MYT
Julai 1, 2023 19:10 MYT
KUALA LUMPUR : Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menzahirkan kekecewaan susulan tuduhan rasuah terhadap anggota Jabatan Imigresen (JIM) yang dibuat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Presidennya, Khairil Niza Khairuddin berkata, sekiranya benar dakwaan itu berlaku maka perkara tersebut perlu dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ujar Khairil, sebagai individu kenamaan, beliau seharusnya menghormati undang-undang dan bukannya bertindak mengalihkan perhatian daripada isu utama.
“Jika benar dakwaan bahawa pegawai JIM di KLIA terlibat dengan rasuah, pihak beliau sepatutnya terus melaporkan kepada SPRM dan bukannya membuat kenyataan media yang boleh dianggap tidak berasas kerana tiada bukti serta hanya bertujuan sebagai diversion atau mengalihkan tumpuan dari isu utama.
“Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.
"Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam masa sama, Khairil berpendapat, tiada pihak yang seharusnya mengganggu tugas penguatkuasaan di negara ini selain bertegas tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya insiden itu berulang.
KPISM juga katanya menyokong saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar siasatan terperinci dilaksanakan berikutan dakwaan terhadap menteri berkenaan yang dikatakan menceroboh masuk dewan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).