Seabad Tambak Johor: Peranannya menghubungkan budaya dan sejarah
Bernama
Jun 29, 2024 09:30 MYT
Jun 29, 2024 09:30 MYT
SINGAPURA: Bayangkan diusir oleh pegawai imigresen di Tambak Johor kerana anda berambut panjang, berjanggut dan memakai baju berbunga.
Ia mungkin kedengaran lucu sekarang, tetapi pada 1970-an, kempen yang dikenali sebagai Operasi Snip-Snip diperkenalkan di Singapura. Kempen itu menyasarkan budaya hippie yang dipersalahkan kerana peningkatan penggunaan dadah tempatan.
Seorang bekas penduduk Khalsa Crescent, yang dahulunya menempatkan pangkalan tentera laut British, Adam Mohamed Amin, 71, berkongsi bahawa dia membesar pada era itu dan sering ke Johor Bahru melalui Tambak Johor untuk menonton wayang, rawatan perubatan dan melawat datuk neneknya di Pontian, Johor.
"Semasa remaja, kami akan menaiki bas dari Khalsa Crescent ke JB (Johor Bahru) yang pada masa itu tambangnya sekitar 10 sen. Kami hanya menggunakan Pasport Terhad Singapura untuk masuk dan keluar melalui Tambak Johor. Mereka mempunyai pawagam yang lebih baik pada masa itu.
"Budaya hippie, saya sedikit terkesan...tidak pernah berambut panjang, hanya memakai baju berbunga," Adam ketawa mengimbas kembali zaman mudanya.
Operasi Snip-Snip adalah antara banyak kisah menarik yang dikongsi dalam pameran kembara "The Causeway: A Century of Connections", yang diadakan sempena sambutan 100 tahun Tambak Johor.
Pameran anjuran Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB) Singapura bermula pada 28 Jun di Pusat Sivik Woodlands dan akan berpindah ke bangunan Arkib Negara Singapura (NAS) di Canning Rise sempena ceramah umum mengenai Tambak Johor pada September 2024.
Pameran itu menjejaki asal usul Tambak Johor, bermula dari keadaan pada abad ke-19 yang membawa kepada pembinaannya, proses pembinaan dan perkembangannya seiring dengan pertumbuhan pesat selepas perang di rantau ini serta evolusinya melalui peristiwa bergolak seperti Pendudukan Jepun dan pandemik COVID-19.
Pengarah NHB (Pendidikan dan Khidmat Komuniti) Gerald Wee berkata dengan reka bentuk yang diilhamkan di pusat pemeriksaan imigresen dan kaunter lama di Woodlands, pameran ini membawa pengunjung dalam perjalanan yang mengasyikkan dengan meniru laluan melalui Tambak Johor.
"Pengunjung boleh mendapatkan 'pasport' yang boleh digunakan untuk mengumpul pelbagai 'cop imigresen' di sekitar pameran. Kisah-kisah ini dihidupkan dengan paparan gambar arkib dari institusi Singapura dan Malaysia," katanya pada pratonton media, Jumaat.
Sementara itu, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) telah melancarkan laman web khas dan siri ceramah sempena sambutan 100 tahun Tambak Johor.
Laman web Centennial Tambak Johor, boleh diakses di https://go.gov.sg/causewaycentenary, membolehkan pengunjung meneroka rekod arkib berkaitan Tambak Johor, yang merangkumi gambar dan sumber audio visual hingga wawancara sejarah lisan.
Laman web itu menyajikan kisah-kisah ringkas tentang sejarah Tambak Johor, meliputi latar belakang dan pembinaannya, peranannya yang mapan dalam memudahkan pergerakan orang dan barangan, serta peristiwa kurang diketahui yang berlaku di sana.
Penolong Pengarah NAS Yit Chin Chuan berkata pada 2011, NAS dan Arkib Negara Malaysia (NAM) bersama-sama menerbitkan buku Tambak Johor, sebuah karya penting dan substantif yang dihasilkan oleh kedua-dua agensi.
Petikan terpilih dari buku itu dipaparkan dalam penerbitan suku tahunan NLB, BiblioAsia edisi Julai-September 2024 dan boleh didapati secara digital di https://go.gov.sg/biblioasia-causeway.
"Tidak mudah bagi arkib yang berbeza untuk bekerjasama. Secara umumnya kerana kebanyakan arkib negara lebih mementingkan dokumen negara mereka.
"Tetapi ada kesempatan seperti ini, Tambak Johor yang kedua-dua pihak terlibat secara signifikan dan ada peluang untuk melihatnya," katanya kepada Bernama.
NLB juga menganjurkan tiga ceramah awam iaitu pada 27 Jun, 4 Julai dan 19 Sept yang menampilkan ahli arkib dari NAS serta penceramah jemputan dari NAM dan Universiti Nasional Singapura.
-- BERNAMA