SDG: UTP lahir pelajar berkemahiran, tinggi tanggungjawab sosial

Madiha Abdullah
Julai 16, 2024 21:20 MYT
UTP berhasrat mendidik pelajar bukan sahaja untuk mahir dalam aspek teknikal tetapi juga untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab. - Gambar hiasan/UTP
KUALA LUMPUR: Inisiatif yang dibentuk oleh pensyarah dan disokong pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP), dijalankan menerusi kajian berpaksikan pembentukan amalan lebih baik dan teknologi lebih baik.
Naib Canselor UTP, Prof Datuk Ir Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, inisiatif itu kemudiannya akan digunakan dan dibawa masuk ke dalam masyarakat bagi manfaat bersama.
“Contohnya projek yang kita panggil ‘Adapt’ yang merupakan structure health monitoring menggunakan teknologi terkini iaitu AI.
“Apabila kita roll-out teknologi ini, ia membantu industri supaya mereka boleh pantau tahap struktur peralatan yang ada jadi mereka tak perlu jadualkan turn around sehingga tiga atau empat tahun sebab mereka sudah tahu, sampai masa kena buat penyelenggaraan. Kadang-kadang boleh lanjutkan tempoh dan ini boleh jimatkan kos.
“Malah daripada implementasi ini, rakan industri kami dapat berjimat berjuta ringgit,” katanya dalam program Agenda AWANI, pada Selasa.
UTP tambahnya, turut menjalankan projek bersama kerajaan tempatan, masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membawa teknologi seperti rawatan sisa air dan teknologi solar untuk digunakan masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik UTP, Prof Ir Dr Hilmi Mukhtar berkata, UTP berhasrat mendidik pelajar bukan sahaja untuk mahir dalam aspek teknikal tetapi juga untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dari segi kemahiran dan keupayaan sosial.
Antara strategi yang digunakan ialah pembangunan kurikulum dan pengaplikasian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Agenda AWANI: UTP | Menyokong matlamat pembangunan mampan
“Kita beri pendedahan kepada pelajar kita tentang carbon footprint, carbon net zero dan kelestarian dari segi pembangunan sumber minyak dan gas dan sebagainya.
“Seterusnya aplikasi SDG yang merupakan projek secara berkumpulan kejuruteraan sains dan teknologi, di mana pelajar akan ambil elemen dari kelestarian sebagai projek yang diguna pakai di dalam dan luar makmal.
“Ini termasuk juga projek tahun akhir berkaitan kelestarian tenaga dan masyarakat cerdik (smart community),” ujarnya.
#Universiti Teknologi PETRONAS #UTP #Matlamat Pembangunan Mampan #SDG