SDG: Tumpu, tangani isu dalam sistem asas - Tunku Alizakri
Madiha Abdullah
Januari 29, 2022 14:25 MYT
Januari 29, 2022 14:25 MYT
KUALA LUMPUR: Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kini merupakan matlamat semua organisasi merentas industri dan menjadi asas bagi menjamin pertumbuhan ekonomi serta perniagaan di masa depan, sambil melindungi alam sekitar.
Namun, Pengerusi Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP), Tunku Alizakri Alias berpendapat, transformasi ke arah itu bukan mudah kerana masih banyak isu asas yang perlu diperbaiki dan ditambah baik bagi memastikan Malaysia bersedia untuk bergerak ke hadapan.
"Terdapat perkara yang lebih mendesak untuk kita pada masa ini. Tak perlu bercakap tentang teknologi dan pendigitalan, kita boleh lihat dunia seperti bergerak lebih pantas, tetapi malangnya, kita tidak bergerak sepantas yang sepatutnya.
"Anda boleh melihat asas infrastruktur negara, dan anda harus memastikan bahawa kita selaras dengan apa yang diperlukan dunia.
"Tempat tinggal dan perumahan, majoriti penduduk kita tidak mampu membeli apa yang kita panggil rumah mampu milik.
"Pendapatan, banyak data menunjukkan bahawa graduan baharu berpendapatan enam peratus kurang daripada apa yang sepatutnya mereka perolehi, jika dibanding dengan kadar 20, 30 tahun lalu.
"Jadi kita nampak, isu asas di Malaysia pun masih belum ditangani," katanya ketika bercakap dalam sesi ASEAN Speaks: Making Sustainability - First A Business Agenda, pada Jumaat.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu juga menambah, visi sememangnya perkara penting, namun, apa yang lebih penting ialah memastikan visi itu relevan kepada pemegang kepentingan dan bukan hanya untuk mendapat penghormatan atau pujian.
"Cabarannya bukan hanya mengatakan kita akan berubah demi transformasi, kerana anda tidak boleh melakukannya sendirian. Anda perlu pastikan semua orang turut serta bersama, terutama dalam kalangan ahli lembaga pengarah.
"Mereka mempunyai kepercayaan yang besar terhadap anda dan kredibiliti anda untuk mewujudkannya dan mereka akan menghasilkan masa depan yang anda mahu. Itu hanya boleh terjadi dengan semangat bersatu hati orang di sekeliling anda.
"Kepercayaan diberi kepada pengurusan tertinggi, kerana kakitangan kita sangat patuh. Kadang-kadang apabila anda membuat perancangan, mereka akan berkata, okey, kami akan lakukan, kami tidak begitu faham mengapa anda mahu melakukannya, tetapi kami akan lakukan.
"Tetapi bagi saya, itu tidak mampan kerana anda perlu memastikan bahawa setiap orang merasakan diri mereka penting dan ada nilai," jelasnya.