SDEC tarik 15,000 pelawat, jana potensi nilai transaksi sehingga RM80 juta - Sidec

Bernama
Disember 6, 2023 10:21 MYT
Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital (SDEC) Selangor kelapan yang diadakan pada 19 hingga 22 Oktober lepas, menarik lebih 15,000 pelawat dan menjana potensi nilai transaksi sehingga RM80 juta.
KUALA LUMPUR: Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital (SDEC) Selangor kelapan yang diadakan pada 19 hingga 22 Oktober lepas, menarik lebih 15,000 pelawat dan menjana potensi nilai transaksi sehingga RM80 juta.
Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dalam kenyataan hari ini berkata, acara selama empat hari itu menghasilkan 54 padanan perniagaan, menawarkan platform untuk rangkaian, pembentangan ucaptama serta sesi dialog dan ‘pitching’ atau pembentangan daripada 20 syarikat pemula.
Menurut kenyataan itu, aktiviti sedemikian berupaya memupuk banyak pertukaran idea dan pandangan, menyumbang kepada sektor kemampanan, inovasi digital dan keusahawanan yang berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, kejayaan Sidec dalam acara itu membuktikan peranan SDEC sebagai pelopor dalam meneraju transformasi digital.
“Ini mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk merevolusikan industri, memacu inovasi yang bukan sahaja memenuhi, malah melebihi keperluan perniagaan yang berkembang dalam era digital.
“SDEC bukan sekadar mengikut rentak. Kami meneraju tanggungjawab ke arah masa depan yang menyaksikan teknologi berintegrasi dengan lancar bersama-sama logistik dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, organisasi itu turut mengukuhkan komitmen untuk memupuk inovasi dalam kalangan perniagaan tempatan, syarikat pemula dan usahawan teknologi dengan menandatangani lima Memorandum Persefahaman (MoU).
Pertukaran perjanjian perkongsian adalah antara Sidec dan Yinson serta Sidec dengan Persatuan Komputer Taiwan, manakala pemeteraian MoU adalah antara Sekolah Digital Selangor dengan Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Sekolah Digital Selangor dengan Internet Alliance, dan antara Mydin dan Wavpay.
Menurut Sidec, turut dilancarkan pada acara itu adalah portal data baharu Portal Selangor Government Data Exchange (SelGDX), sistem Van Demand-Responsive Transit (DRT) atau sistem pengangkutan berkonsepkan atas permintaan Mobiliti Selangor berserta logo.
Sidec turut memperoleh pelbagai pencapaian cemerlang pada 2023, mengukuhkan kedudukannya sebagai penggerak landskap digital di rantau ini, memainkan peranan penting dalam membentuk semula landskap digital, memupuk inovasi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi di rantau ini.
“Sorotan utama 2023 adalah peranan penting Sidec dalam memupuk kerjasama antara sektor awam dan swasta, memudahkan persekitaran yang kondusif bagi inovasi dan pertumbuhan.
“Ini termasuk menjayakan program pemecut Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX) 2023 dan edisi keenam Program Pemecut Selangor (SAP),” katanya.
Sebanyak 10 syarikat pemula menerusi SAP 2023 dan lima peniaga e-dagang di bawah ECX 2023 telah dinobatkan sebagai pemenang, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pelopor bidang teknologi dan keusahawanan yang berkembang pesat di rantau ini.
Pemenang menerima hadiah wang tunai dan perjalanan perniagaan antarabangsa yang direka untuk memacu peluang inovasi, pengembangan dan rangkaian selain akan menyertai Kelab CXO, sebuah kelab eksklusif perniagaan utama sebagai satu lagi pengenalan utama Sidec pada tahun ini.
“Kelab CXO diwujudkan selari dengan misi kami untuk menyediakan graduan program pemecut kami dengan laluan yang akan membantu mereka menjayakan pencapaian untuk mengumpulkan pengguna, hasil dan pembiayaan menerusi bimbingan veteran industri berpengalaman yang dikenali sebagai “Supercoach.”
“Jurulatih ini akan membimbing generasi perniagaan seterusnya menerusi setiap kitaran perniagaan dengan kemungkinan mampu memperoleh tawaran awam permulaan atau penggabungan dan pembelian.
“Kami berharap untuk terus memainkan peranan meningkatkan dan mentransformasi pengasas perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pemula di peringkat negeri dan negara sebagai usahawan bersiri, malah pemodal teroka,” kata Yong.
Menjelang 2024, Sidec kekal komited untuk memupuk pertumbuhan, inovasi dan perubahan positif.
Sebagai pemangkin kepada kemajuan, organisasi itu bersedia untuk terus memacu inisiatif yang meningkatkan landskap digital Selangor, menjalin perkongsian baharu dan mewujudkan ekosistem dinamik untuk perniagaan berkembang maju, katanya.
#SIDEC #pelaburan #SDEC #bandar pintar
;