SD Azilah: Puluhan individu akan dipanggil beri keterangan - KPN

Bernama
Disember 23, 2019 19:29 MYT
ABDUL HAMID: Kami akan melaksanakan tindakan jika ada arahan spesifik daripada Jabatan Peguam Negara. - Gambar fail
Puluhan individu akan dipanggil membantu siasatan terhadap Akuan Berkanun (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang mendakwa menerima arahan membunuh Altantuya Shaariibuu daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata saksi dan individu terlibat akan dipanggil dalam masa terdekat dan siasatan berhubung SD berkenaan sedang berjalan.
“Beberapa saksi, individu telah disenaraikan untuk dipanggil bagi merakam kenyataan. Kami akan melaksanakan tindakan jika ada arahan spesifik daripada Jabatan Peguam Negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini.
Pada 16 Dis lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis perlu membuat pengesahan terhadap SD itu sebelum tindakan dibuat.
Azilah yang sedang menunggu hukuman gantung sampai mati di penjara Kajang menuduh Najib yang ketika itu timbalan perdana menteri dan Razak Baginda mengarahkan pembunuhan wanita Mongolia itu setelah meyakinkannya bahawa wanita berkenaan adalah perisik asing yang mengancam keselamatan negara.
SD itu difailkan bersama dengan afidavitnya untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan dan memohon perbicaraan semula.
Najib pada Jumaat lepas melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru bagi menafikan pembabitannya dalam kes pembunuhan Altantunya.
-- BERNAMA
#Abdul Hamid Bador #akuan berkanun #Altantuya Shaariibuu #Azilah Hadri #gantung sampai mati #Jabatan Peguam Negara #jenayah #keselamatan #Ketua Polis Negara #mahkamah #merakam kenyataan #Najib Razak #penjara #polis #saksi #SD #siasatan #sumpah laknat #terima arahan
;