SCoRE perkukuh tindakan antikeganasan melalui integrasi AI - Mohamad
Bernama
Oktober 14, 2024 04:00 MYT
Oktober 14, 2024 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Integrasi inovatif kecerdasan buatan (AI) ke dalam Centre of Research Excellence and Online Repository (SCoRE) di bawah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) akan memainkan peranan penting dalam memerangi keganasan, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad berkata, keganasan melangkaui sempadan, bangsa dan agama, mengganggu keamanan, menggugat ekonomi serta memecahbelahkan struktur sosial negara.
"Memandangkan kumpulan pengganas terus berkembang dan menggunakan taktik yang semakin canggih, tindak balas kita juga perlu inovatif dan berupaya berubah mengikut situasi, keadaan atau persekitaran.
"Di sinilah SCoRE memainkan peranannya. Apa yang membezakannya ialah integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang inovatif.
"Dalam persekitaran yang bergerak pantas, tindakan tepat pada masanya amat penting dan pendekatan yang dipacu AI ini memperkasakan pengguna untuk kekal di hadapan dalam menghadapi ancaman dan trend yang muncul.
"Sementara pengganas sering berusaha mengeksploitasi teknologi untuk mengancam dan mengganggu kita, kita bertindak balas dengan menggunakan AI yang canggih untuk lawan kembali," katanya semasa berucap pada pelancaran SCoRE, pada Isnin.
Ucapan Mohamad dibacakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.
SCoRE, yang merupakan inisiatif SEARCTT dirancang sebagai pusat pengetahuan utama yang menyediakan penyelidikan terkini dan analisis kritikal terhadap cabaran keselamatan global yang mendesak.
Selain menawarkan pelbagai kandungan tempatan, platform ini secara aktif menggalakkan sumbangan daripada pakar dan pengamal di seluruh dunia.
Menurut Mohamad, keupayaan SCoRE membolehkan ia menjana ringkasan artikel dan laporan, membolehkan pengamal, penggubal dasar dan penyelidik mengakses maklumat yang relevan dengan pantas dan cekap.
"Dengan memperkemaskan proses carian dan mendapatkan maklumat, AI memastikan pengguna dapat menapis jumlah data yang banyak dan memberi tumpuan kepada maklumat yang paling penting untuk kerja mereka.
"Ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga meningkatkan proses membuat keputusan dengan memberikan akses pantas kepada maklumat utama," katanya.
Mohamad menegaskan, repositori data peringkat kebangsaan ini merupakan tonggak penting dalam strategi lebih luas untuk memperkukuh kerangka keselamatan Malaysia.
"Dengan menawarkan platform berpusat, kita memastikan bahawa anggota keselamatan kita dilengkapi dengan alat yang diperlukan untuk menjangka, memahami, dan bertindak balas.
"Pendekatan seperti ini memupuk kerjasama yang lebih baik merentasi sektor, kerana maklumat tidak lagi terasing dalam silo, tetapi mudah dikongsi.
"Justeru, kita harus ingat bahawa tiada satu negara pun yang mampu menangani cabaran seperti keganasan dan ekstremisme ganas sendirian," katanya.
Beliau berkata, rangkaian pengganas cenderung mengeksploitasi sempadan, memanfaatkan hubungan antara negara untuk menyebarkan ideologi radikal, merekrut pejuang pengganas asing, dan melancarkan ancaman siber yang canggih.
"Cabaran yang kita hadapi adalah besar, kompleks dan sangat saling berkait merentasi sempadan negara. Seperti ramai daripada anda setuju, usaha yang diselaraskan dan kolektif amat penting untuk menangani pelaku jahat ini dengan berkesan.
"Sememangnya meningkatkan kerjasama antarabangsa adalah kunci. Dengan menjadikan SCoRE dapat diakses oleh rakan kongsi kami, kami bukan sahaja berkongsi maklumat - kami juga berkongsi tanggungjawab untuk menangani ancaman yang sentiasa berkembang ini.
"SCORE bersedia memainkan peranan yang tidak ternilai, bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga untuk seluruh rantau Asia Tenggara dan seterusnya," katanya. - BERNAMA