'Scammer' hantar e-mel kompaun saman lalu lintas, guna logo PDRM

Sinar Harian
Ogos 4, 2023 09:40 MYT
Mohd Nasri berkata taktik terbabit dihantar secara meluas kepada e-mel individu dengan menggunakan logo rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Taktik sindiket penipuan semakin licik dan menjadi-jadi apabila scammer cuba memperdayakan orang ramai melalui e-mel kononnya terdapat tunggakan saman.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, taktik terbabit dihantar secara meluas kepada e-mel individu dengan menggunakan logo rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Halaman tersebut memaparkan notifikasi bahawa anda memiliki saman di bawah kesalahan lalu lintas yang tertunggak dan perlu dijelaskan segera.
"E-mel itu juga mendakwa sekiranya 'saman' itu tidak dijelaskan, tindakan undang-undang akan diambil," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, e-mel itu turut menyatakan dan meminta pengguna membayar sejumlah wang secara dalam talian atau kandungan melalui pautan yang disediakan.
Katanya, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket penipuan.
"PDRM menegaskan tiada sebarang transaksi pembayaran melalui e-mel seperti yang dinyatakan itu," jelasnya. - Sinar Harian
#sindiket penipuan #tunggakan samana #e-mel #Mohd Nasri Omar
;