'Scammer' ambil kesempatan, jerat mangsa melalui pakej pelancongan murah ke Langkawi

Salim Aziz
September 17, 2021 17:25 MYT
Awas! Jangan mudah menjadi mangsa sindiket penipuan yang menawarkan harga pakej pelancongan murah ke Langkawi. - Gambar hiasan
KUALA PERLIS: Terperdaya dengan tawaran harga murah biarpun tidak masuk akal.
Gara-gara tanpa usul periksa tentang kesahihan pakej pelancongan yang ditawarkan lantaran ghairah untuk bercuti, akhirnya percutian idaman dan wang yang dibayar hilang begitu saja.
Itulah yang kini terjadi, hingga membuatkan pembeli pakej percutian berputih mata kerana hasrat yang diimpikan itu lenyap akibat termakan jerat scammer atau sindiket penipuan.
Perkara itu didedahkan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), berikutan menerima sembilan aduan membabitkan penipuan pakej pelancongan murah ke Langkawi, yang mengambil kesempatan di sebalik Program Perintis Pelancongan Gelembung Langkawi, dalam tempoh dua hari ini.
Menurut Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff, aduan telah diterima pihaknya daripada pelancong di Johor, Selangor serta Perak yang bercadang bercuti ke Langkawi dalam tempoh terdekat.
Katanya, mereka tertipu dengan tawaran harga murah, sehingga potongan 70 peratus bagi setiap pakej pelancongan.
Lebih dari itu, ada scammer yang dikesan menawarkan harga terendah iaitu RM280 untuk empat orang bagi percutian tiga hari dua malam ke Langkawi.
Katanya, pengadu menyedari tertipu selepas panggilan ke atas nombor yang diberikan disekat sebaik selesai melakukan transaksi pembayaran.
“Kita pun banyak menyelesaikan isu-isu pakej pelancongan yang mana menawarkan harga tertentu, dan selepas diambil (beli) pakej tersebut (baru menyedari) bahawa pakej itu tidak wujud.
“Kebanyakan hotel dan agensi (scammer) itu hendak bawa (pelancong) mengikuti aktiviti island hopping (jelajah pulau) dan sebagainya. Tidak ada pakej tersebut.
“Sekiranya berlaku masalah tersebut, kita harap supaya laporkan pada Kementerian Pelancongan dan juga Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ataupun boleh salurkan aduan kepada kami.
“Kami akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan aduan yang diterima. Kami boleh dihubungi menerusi Facebook Persatuan Pengguna Kedah, ataupun talian telefon 04-771 8241,” ujarnya.
Difahamkan, sindiket penipuan itu aktif membuat pengiklanan mengenai pakej percutian yang tidak wujud, di laman sosial Facebook.
CAKE juga percaya, ramai lagi mangsa yang belum tampil membuat aduan dan meminta mereka berbuat demikian bagi memudahkan siasatan dilakukan.
#sindiket #scammer #pakej pelancongan #Langkawi #pengguna
;