SC umum pelantikan empat pegawai kanan

Bernama
Julai 1, 2022 21:25 MYT
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengumumkan empat pelantikan kanan baharu berkuat kuasa hari ini dengan tujuan untuk membina pasaran modal yang lebih relevan, cekap dan pelbagai. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengumumkan empat pelantikan kanan baharu berkuat kuasa hari ini dengan tujuan untuk membina pasaran modal yang lebih relevan, cekap dan pelbagai.
Pegawal selia itu dalam satu kenyataan berkata ia telah melantik Datin Azalina Adham sebagai pengarah eksekutif strategi dan dasar iaitu kumpulan perniagaan yang baru ditubuhkan.
Selain itu, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dilantik sebagai pengarah eksekutif komunikasi strategik dan pejabat pengerusi.
SC juga telah mempromosikan Dr Wong Huei Ching kepada pengarah eksekutif strategi dan inovasi digital serta melantik Budiman Lutfi Mohamed sebagai pengarah penguatkuasaan.
SC ketika mengulas mengenai peranan Azalina berkata beliau akan membantu memacu hala tuju strategik SC dalam beberapa bidang kritikal termasuk perancangan korporat, pengurusan risiko dan hubungan antarabangsa bagi terus membangunkan pasaran modal.
Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata gabungan pengetahuan termasuk pengalaman mereka yang dilantik, yang diambil daripada sektor awam dan swasta, akan mengukuhkan lagi keupayaan serta keberkesanan suruhanjaya itu untuk "menggalakkan pertumbuhan pasaran dan integriti dalam persekitaran yang berkembang pesat yang merangkumi kemampanan, persaingan dan inovasi."
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Sekuriti Malaysia #SC #pegawai kanan #Azalina Adham
;