SC umum barisan baharu Majlis Penasihat Syariah

Bernama
Julai 23, 2020 00:09 MYT
Menurut kenyataan media, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia SC berkata ia telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 31ZK Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA). - Gambar Fail
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan barisan baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) yang akan berkhidmat untuk tempoh tiga tahun mulai 1 Julai 2020.
Dalam kenyataan hari ini, SC berkata ia telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 31ZK Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA).
Sembilan ahli itu ialah Pengerusi Eksekutif Amanie Group Datuk Dr Mohd Daud Bakar; Prof Madya Aznan Hasan dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF); bekas penyelidik kanan International Shari'ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) Dr Shamsiah Mohamad dan Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF).
Selain itu ia turut dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISRA International Consulting Sdn Bhd Prof Dr Ashraf Md Hashim; Prof Dr Asmadi Mohamed Naim dari Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia dan Prof Madya Dr Mohamed Fairooz Abdul Khir dari Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Islam Malaysia (UIM).
Dua lantikan baharu ialah Presiden dan CEO International Center for Education in Islamic Finance (INCEIF) Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar dan CEO Elzar Shariah Solutions and Advisory Sdn Bhd Dr Zaharuddin Abdul Rahman.
Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata keputusan yang dibuat SAC memberikan lebih kejelasan, ketekalan dan keyakinan kepada semua pihak berkepentingan dalam pasaran modal Islam di Malaysia yang akan memudahcara usaha-usaha pembangunan oleh pengamal pasaran.
"Kepakaran dan pengalaman ahli-ahli MPS ini akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran modal Islam," katanya.
SAC ditubuhkan pada 1996 untuk memastikan pembangunan pasaran modal Islam mematuhi prinsip-prinsip Syariah dan pihak berkuasa terpusat yang bertanggungjawab menetapkan pemakaian prinsip-prinsip Syariah dalam pasaran modal Islam.
Di bawah SCMA, SAC diberi kuasa untuk menasihati SC mengenai hal-hal berkaitan perniagaan atau transaksi pasaran modal Islam.
-- BERNAMA
#CEO #Islam #Malaysia #presiden #Suruhanjaya Sekuriti Malaysia SC #syariah #undang-undang #Yang di-Pertuan Agong
;