SC tidak dapat tentukan Azam Baki langgar undang-undang
Nailah Huda
Januari 18, 2022 15:46 MYT
Januari 18, 2022 15:46 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
"SC telah menamatkan inkuiri dan berdasarkan keterangan yang dikumpul, pihak SC tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Peruntukan undang-undang bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) atau Akta SICDA 1991 menetapkan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau
penama yang diberi kuasa.
SC, bagaimanapun, tidak memperincikan sama ada langkah susulan akan diambil berikutan siasatan tersebut gagal menghasilkan keputusan muktamad.
Pada awal bulan ini, SC menegaskan, Azam Baki akan diminta untuk memberi penjelasan berhubung pemilikan saham dalam beberapa syarikat.
Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-Agensi bawah Jabatan Perdana Menteri bagi membincangkan isu Azam Baki yang dijadualkan pada Rabu pula ditangguhkan atas beberapa isu perundangan, menurut Setiausaha Dewan Rakyat.