SC terima 2,873 aduan berkaitan scam setakat suku ketiga 2023

Bernama
November 17, 2023 04:40 MYT
Awang Adek berkata, setakat akhir Okt 2023, SC telah memulakan empat tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak berlesen serta menyekat 128 laman web, 113 akaun Telegram, 78 akaun Facebook dan 10 akaun Instagram. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima kira-kira 2,873 aduan berkaitan scam (aktiviti penipuan) setakat suku ketiga 2023 berbanding 2,461 aduan yang diterima tahun lepas.
Pengerusi SC Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata peningkatan ketara dalam aduan berkenaan selepas penguatkuasaan dilakukan dengan memberi amaran kepada orang ramai supaya melaporkan tingkah laku yang mencurigakan mengenai penipuan.
"Ramai scammer (ahli sindiket penipuan) menggunakan platform media sosial seperti YouTube, WhatsApp, Facebook dan Instagram. SC sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras aktiviti penipuan.
"Ini termasuk memaklumkan orang ramai melalui Senarai Makluman Pelabur SC, menyekat tapak web dan menyekat geo halaman media sosial yang menyinggung perasaan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran InvestSmart Fest 2023 di sini semalam.
Terdahulu, Awang Adek dalam ucapannya berkata setakat akhir Oktober 2023, SC telah memulakan empat tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak berlesen termasuk 274 penyertaan baharu dalam Senarai Makluman serta menyekat 128 laman web, 113 akaun Telegram, 78 akaun Facebook dan 10 akaun Instagram.
Beliau juga menggesa enjin carian dan platform media sosial untuk meningkatkan usaha mereka membantu mencegah scammer daripada menyebarkan mesej berbahaya.
SC telah memperkemas proses itu dan menempatkan semuanya bersama-sama dalam platform carian dalam talian - 'SC Investment Checker' (Penyemak Pelaburan SC), katanya.
"Kami menjangkakan ia akan disiarkan secara langsung pada penghujung tahun ini. Fungsi carian sehenti baharu di laman web rasmi SC ini akan membantu pelabur mengenal pasti kesahihan entiti yang menawarkan peluang pelaburan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata pihak berkuasa harus meningkatkan keselamatan sistem terhadap pihak penyedia perkhidmatan dan pengguna manakala bank pada umumnya telah mengambil langkah penting untuk melaksanakan ciri keselamatan yang lebih baik sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu bertindak pantas terhadap kes penipuan dan proses pengembalian pemulihan wang kepada mangsa.
Sehubungan itu, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah diberi kuasa dengan peruntukan RM10 juta tahun ini dan RM20 juta dalam Belanjawan 2024 untuk memastikan tindak balas pantas dilakukan terhadap laporan penipuan.
Setakat ini, NSRC telah berjaya bertindak dan membekukan urus niaga bernilai RM60 juta sekali gus mengelakkan kerugian kepada mangsa, kata Sim.
Menjelang pertengahan tahun depan, sistem pintar Bank Negara Malaysia iaitu Portal Fraud Kebangsaan (NFP) dengan kerjasama PayNet yang berperanan mengesan pergerakan dana dan mengenal pasti akaun keldai akan disiapkan.
"Saya yakin penyedia perkhidmatan perlu memikul sedikit liabiliti apabila melibatkan insiden penipuan dan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pengguna atau pelabur.
"Ya, wujud masalah perlindungan terhadap risiko kewangan tetapi hujah ini berkesan kepada semua pihak. Jika penyedia perkhidmatan kewangan hanya boleh menolak liabiliti kepada pengguna, maka tidakkah ia akan mewujudkan risiko kewangan kepada mereka? Saya percaya risiko mesti diagihkan secara berkadar antara pihak yang terlibat dan bukan hanya dibebankan kepada satu pihak," kata Sim dalam ucapannya pada acara berkenaan.
InvestSmart Fest 2023 yang berlangsung selama tiga hari bertemakan "10 Tahun Memperkasa Rakyat Malaysia', memfokuskan kepada empat komponen utama; pemerkasaan pelabur, fintech, perancangan kewangan dan pencegahan penipuan pelaburan.
Acara tahun ini disertai lebih daripada 35 organisasi termasuk institusi pasaran kewangan, pengantara pasaran modal, persatuan industri, badan kawal selia dan agensi kerajaan.
-- BERNAMA
#aduan berkaitan scam #Awang Adek Hussin #Steven Sim Chee Keong #sindiket penipuan
;