SC sentiasa cari kaedah tangani kecukupan simpanan persaraan

Bernama
Mac 27, 2023 15:40 MYT
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin (tengah) mengumumkan Laporan Tahunan 2022 SC di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sentiasa mengenal pasti kaedah baharu bagi menangani aspek berkaitan kecukupan simpanan persaraan, sejajar dengan jangkaan Malaysia berstatus negara menua menjelang 2030 apabila 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas.
Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini, SC berkata antara usaha itu melibatkan pendekatan masalah melalui lensa tingkah laku serta menerapkan tinjauan tingkah laku dalam menggalakkan rakyat melakukan perancangan persaraan lebih besar.
"Malaysia telah menerima pakai ekosistem pencen yang holistik dan pelbagai aspek sebagai persediaan untuk menggerakkan simpanan dan memudahcarakan keperluan perancangan persaraan rakyat.
"Ini bersandarkan rangka kerja pencen berbilang teras dan meliputi mandat pelan pencen awam serta skim pencen swasta secara sukarela melalui skim persaraan swasta (PRS) yang dikawal selia oleh SC," katanya.
Menurut SC, penerimaan PRS juga kian meningkat sebagai perantara alternatif untuk menambah dan melengkapkan sistem pencen awam mandatori.
Ini dibuktikan menerusi peningkatan jumlah pencarum PRS sebanyak 7.5 peratus setahun iaitu daripada 416,913 ahli pada 2018 kepada 557,000 ahli pada 2022.
Walaupun terdapat saluran swasta dan awam untuk rakyat menyimpan dan melabur bagi persaraan, SC berkata masih wujud jurang dalam tahap simpanan kebanyakan individu untuk persaraan mereka.
"SC juga mengakui dengan menyentuh isu-isu keselamatan persaraan yang mengaitkan penyelesaian sektor swasta, ia memerlukan perkongsian dan kerjasama antara pihak berkepentingan persaraan dalam pelbagai bidang - termasuk pembangunan dasar, inovasi produk dan pendidikan pelabur.
"Sistem persaraan rasmi misalnya hanya meliputi kira-kira 60 peratus daripada tenaga kerja - kebanyakannya mempunyai simpanan persaraan yang tidak mencukupi. Ini dirumitkan dengan pengeluaran awal simpanan persaraan baru-baru ini untuk mengatasi keperluan aliran tunai disebabkan oleh pandemik," katanya.
Malah, baki 40 peratus daripada tenaga kerja masih belum dilindungi oleh simpanan mandatori dan ini berpotensi berkembang apabila lebih ramai pekerja memasuki pekerjaan sendiri dan ekonomi gig, katanya dalam laporan itu.
SC juga menyifatkan tindakan memasukkan tinjauan tingkah laku ke dalam penggubalan dasar dan reka bentuk produk boleh mendorong rakyat Malaysia membuat keputusan lebih baik dalam persediaan persaraan masing-masing.
Jelasnya lagi, prinsip utama tinjauan tingkah laku ialah individu dipengaruhi oleh faktor-faktor ketika sedar (atau secara rasmi dirujuk sebagai berat sebelah dalam tingkah laku) semasa membuat keputusan - ini akan mengakibatkan keputusan yang tidak sesuai dengan kepentingan mereka. Ini amat relevan dalam konteks persaraan," katanya.
Di peringkat global, kata SC, peningkatan bilangan kajian dalam ekonomi tingkah laku menunjukkan bahawa aspek tingkah laku kewangan dan simpanan adalah berkaitan dengan faktor psikologi.
Menurutnya, sebagai contoh, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menekankan bahawa walaupun peratusan tertentu individu adalah penabung berdedikasi yang bertanggungjawab untuk persaraan mereka, peratusan lebih besar (sebaliknya) lebih suka membelanjakan daripada menyimpan wang.
Pada masa sama, terdapat segelintir yang mahu membuat simpanan lebih besar namun tiada kemahuan atau terpengaruh dengan pilihan yang terlalu banyak.
"Walaupun wujud faktor struktur di sebalik ketidakcukupan simpanan persaraan rakyat Malaysia, terdapat juga halangan tingkah laku yang perlu diatasi untuk menggalakkan perancangan persaraan yang lebih baik dalam kalangan penduduk secara meluas," katanya.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Sekuriti Malaysia #simpanan persaraan #negara menua #rakyat Malaysia
;