SC pelawa permohonan untuk Program Kepimpinan investED 2024

Bernama
Mei 16, 2024 04:45 MYT
investED bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan saluran bakat yang mampan untuk industri pasaran modal. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa permohonan untuk kohort kedua Program Kepimpinan investED, sebuah program siswazah pasaran modal.
investED bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan saluran bakat yang mampan untuk industri pasaran modal.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pasaran modal bagi seramai 9,000 pelajar universiti dan menyediakan pekerjaan dalam industri pasaran modal kepada sehingga 600 graduan antara 2023 dan 2025.
"Program tiga tahun itu diterajui oleh SC dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Tinggi," menurut SC dalam kenyataan pada Khamis.
Program Kepimpinan ini telah menarik kira-kira 2,500 permohonan untuk kohort pertamanya pada tahun lepas. Pelatih Kohort 1 akan menamatkan pengajian dari program tersebut pada 27 Mei 2024.
Program Kepimpinan investED terdiri daripada latihan kelas komprehensif selama sebulan, memberi fokus kepada topik pasaran modal, kepimpinan, kemampanan dan tadbir urus di Asia School of Business, diikuti dengan latihan sambil kerja selama enam bulan dengan rakan kongsi investED daripada industri pasaran modal.
Selain berpotensi untuk membina kerjaya dalam industri pasaran modal, pelatih juga menerima elaun bulanan sebanyak RM2,400 sepanjang tempoh latihan.
Tarikh akhir permohonan ditetapkan pada 30 Jun 2024 ini. Permohonan boleh dikemukakan melalui www.invested.my. - BERNAMA
#Kementerian Kewangan #Suruhanjaya Sekuriti Malaysia #saluran bakat #kebolehpasaran graduan
;