SC lancar inisiatif perluas ekosistem inovasi digital
Bernama
Mac 14, 2024 05:00 MYT
Mac 14, 2024 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan melancarkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan libat urus dengan industri dan ekosistem inovasi digital yang lebih luas.
Pengerusinya, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata inisiatif itu termasuk perbincangan mengenai dasar inovasi, sesi 'pitch and match' dan sidang kemuncak teknologi kewangan (fintech) untuk memacu pembangunan fintech.
"Daripada perbincangan mengenai dasar inovasi hingga sesi 'pitch and match' dan sidang kemuncak fintech yang besar pada akhir tahun, semua ini akan menghimpunkan industri untuk meningkatkan kesedaran mengenai pembangunan fintech.
"Menyedari kepentingan keselamatan siber dan risiko teknologi, kami turut menganjurkan aktiviti pembinaan kapasiti melalui program TechTrek kami," katanya dalam ucaptama secara maya pada 'SCxSC Views from the Top' Digital Leaders' Dialogue on Emerging Tech' pada Khamis.
Awang Adek berkata sejak tiga dekad yang lepas, pasaran modal Malaysia telah menunjukkan penggunaan teknologi yang luar biasa, daripada pengenalan platform dagangan elektronik hingga wujudnya sistem tempahan dalam talian.
"Pandemik COVID-19 telah menjadi pemangkin, meningkatkan kadar pendigitalan.
"Ia juga telah melahirkan pemain digital baharu, selain menyebabkan yang tradisional melakukan transformasi untuk kekal relevan dan memenuhi permintaan pasaran yang berkembang pesat," katanya.
Oleh itu, Awang Adek berkata negara yang menggunakan teknologi terkini seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin lebih cenderung untuk menarik pelaburan asing.
"Berdasarkan teknologi terus maju, kekal di barisan hadapan dalam inovasi adalah penting untuk mengekalkan kelebihan daya saing dalam pasaran global," katanya.
Beliau berkata menggunakan teknologi baharu bukan hanya mengenai untuk terus kekal di hadapan.
"Ia juga mengenai mewujudkan masa depan yang lebih baik dan lebih inklusif untuk semua orang. Ia sama ada menyelaraskan proses dengan AI atau meningkatkan ketelusan dengan blockchain, potensinya adalah tanpa had.
"Sebagai pengawal selia, menjadi tugas kami untuk memastikan inovasi yang bertanggungjawab, rangka kerja kawal selia yang kekal kukuh dan berdaya maju untuk melindungi kepentingan pelabur dan memelihara integriti pasaran," katanya.
-- BERNAMA