SC digesa perluaskan platform GROWMatch ke semua sektor - Gobind

Bernama
Ogos 16, 2024 21:48 MYT
Gobind berkata GROWMatch direka untuk meningkatkan ekosistem pembiayaan agro dengan membolehkan usahawan membentangkan idea perniagaan mereka kepada pelabur berpotensi dalam sektor pembiayaan alternatif. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memperluaskan platform padanan GROWMatch kepada semua industri bagi menangani jurang pembiayaan yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata platform GROWMatch direka untuk meningkatkan ekosistem pembiayaan agro dengan membolehkan usahawan saling berhubung dan membentangkan idea perniagaan mereka kepada pelabur berpotensi dalam sektor pembiayaan alternatif.
"Melihat kepada kejayaan program ini, mungkin SC boleh memperluaskannya kepada PMKS di luar bidang pertanian," katanya.
Beliau melancarkan GROWMatch, sebuah inisiatif oleh SC untuk menangani jurang pembiayaan yang dihadapi oleh usahawan perniagaan tani dan mempromosikan pertumbuhan mampan dalam sektor tersebut.
Inisiatif itu adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Lima Tahun SC (2024-2028) untuk memanfaatkan platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) untuk PMKS dalam sektor-sektor strategik dan kurang mendapat perhatian.
Beliau berkata platform padanan itu juga bertujuan untuk membantu syarikat-syarikat muda dan di peringkat permulaan untuk mendapatkan modal yang relevan dengan profil risiko perniagaan mereka.
"Selain daripada GROWMatch, saya juga berharap untuk melihat lebih banyak platform padanan pembiayaan seperti ini yang merangkumi semua industri dan sektor. Platform seperti ini mencipta harapan dan peluang baharu dan hasilnya berupaya bagi memperkukuhkan lagi ekonomi negara," katanya.
Menteri itu juga turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SC dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) Universiti Putra Malaysia dan Impact Circle.
MoU itu bertujuan menggalakkan sara diri sekuriti makanan melalui pembiayaan alternatif dengan menggabungkan kepakaran yang pelbagai untuk membangunkan, inkubasi dan membiayai peluang yang menyokong usahawan tani dalam meningkatkan skala perniagaan mereka.
"Kerjasama antara pelbagai kementerian dan agensi pasti akan membantu usahawan tani dalam usaha perniagaan mereka. Langkah ini bukan sahaja akan membantu mengembangkan sektor pertanian tetapi juga sektor digital di Malaysia," kata Gobind.
-- BERNAMA
#MDEC #PMKS #usahawan tani #sekuriti makanan