'Sayur boleh tanam, tapi bagaimana jika keperluan asas lain terputus' - Keluh penduduk rumah panjang

Astro Awani
Mac 28, 2020 20:04 MYT
Apa yang dikhuatiri penduduk adalah sama ada kedai bekalan di Pekan Song beroperasi seperti biasa.
"Hasil bercucuk tanam mencukupi, boleh petik sayur di kebun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Tetapi bagaimana dengan barang makanan ruji lain.
"Jika beras, gula, dan minyak masak habis, penduduk Rumah Panjang Kelou, Sungai Lijau, Song ini mahu beli di mana," katanya Selamat Anggat.
Keluhan Selamat itu mewakili penduduk rumah panjang terbabit yang berdepan masalah bekalan makanan ruji apabila perkhidmatan bot ekspres untuk ke Pekan Song dengan jarak 30 minit perjalanan ditangguhkan.
Bukan itu sahaja, jika ada pun perkhidmatan disediakan, apa yang dikhuatiri penduduk adalah sama ada kedai bekalan di Pekan Song beroperasi seperti biasa.
Selain itu, Ketua Rumah Panjang Kelou, Kelau Matong berkata, mereka tidak mempunyai masalah dari segi bekalan makanan mentah.
"Kami boleh memancing untuk mendapatkan ikan, boleh memetik sayuran di kebun tetapi tidak untuk bekalan makanan ruji lain seperti minyak dan gula.
"Kami harap masalah kami ini dapat perhatian kerajaan," rayu Kelau.
Sementara itu, keluhan dan masalah dihadapi penduduk rumah panjang ini Astro AWANI ajukan kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang media di Kuching pada Sabtu.
Abang Johari beri jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi bukan sahaja di bandar-bandar besar di negeri itu tetapi juga di luar bandar.
"Kita tahu terdapat gangguan bekalan dari segi pengangkutan kerana bot ekspres dan lori ditangguhkan.
"Sehubungan itu, saya akan pastikan bekalan makanan sampai di kawasan pedalaman termasuk menggunakan khidmat agensi kerajaan termasuk tentera untuk membawa barangan ini ke kawasan mereka," katanya.
Bagi Pengerusi Rantaian Bekalan Makanan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pihaknya bersetujua dengan kerjasama yang akan dijalinkan dengan agensi kerajaan lain seperti tentera dan bomba.
"Buat masa ini, apa yang penting adalah kepantasan kita menyalurkan bantuan secara efisien. Kita kenal pasti beberapa kawasan sebagai contoh seperti Bario, Belaga, Bekalalan, Semado, Sri Aman, Batang Ai, Pulau Bruit, dan Kapit. Kita akan menghubungkan rakyat dan membantu mereka," katanya.
#bekalan makanan #beras #COVID-19 #minyak masak #Pekan Song #Penduduk rumah panjang #Rumah Panjang Kelou Sungai Lijau #Sarawak #Song
;