Sayap UMNO Bahagian Masjid Tanah buat laporan polis terhadap pengendali Facebook
Bernama
September 22, 2022 00:38 MYT
September 22, 2022 00:38 MYT
ALOR GAJAH: Sayap UMNO Bahagian Masjid Tanah malam ini membuat laporan polis terhadap pengendali laman sosial Facebook Melaka United Fans yang didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Ia susulan tindakan tegas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang tidak membenarkan Melaka United FC beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah Abdul Hakim Abd Wahid berkata tindakan itu diambil berikutan pengendali laman sosial berkenaan yang didakwa membuat hantaran biadab sekali gus menjatuhkan imej dan maruah Sulaiman.
"Sekalipun ada isu tetapi penggunaan bahasa melambangkan budaya kita, apatah lagi bahasa-bahasa demikian ditujukan kepada pemimpin negeri terutamanya Ketua Menteri yang tak sepatutnya berlaku.
Oleh itu saya dan rakan-rakan di peringkat kepimpinan UMNO Bahagian serta Dewan Undangan Lendu sendiri mengharapkan setelah laporan ini dibuat, pihak berkuasa dapat melaksanakan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya dan tidak dibiarkan kerana jika dibiarkan ia mungkin berulang banyak kali," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah di sini.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah Dayang Senandong Moomin berkata adalah tidak sopan menggunakan bahasa kesat jika ingin membuat teguran terutama di laman media sosial.
"Sila selidik dahulu, sila bertanya atau membuat sedikit penyelidikan untuk kita tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam Melaka United itu sendiri dan bukan menuduh pihak-pihak yang tidak sepatutnya terutama Ketua Menteri," katanya.
Semalam, MFL mengenakan hukuman terhadap Melaka United FC dengan tidak membenarkan pasukan itu beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.
MFL, dalam kenyataan, memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan itu berikutan kelab itu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh ditetapkan.
-- BERNAMA
#UMNO Bahagian Masjid Tanah
#laporan polis
#Facebook
#laman sosial
#Facebook Melaka United Fans
#Ketua Menteri Melaka
#Sulaiman Md Ali
#MFL