Sayap Bersekutu Bersatu tolak cadangan kurangkan subsidi pendidikan golongan kaya

Faida Rahim
Oktober 2, 2024 09:00 MYT
Ketua Penerangan sayap bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan menyifatkan langkah berkenaan sebagai ke belakang dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara yang inklusif.- BERSATU
KUALA LUMPUR: Sayap Bersekutu Bersatu menolak cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurangkan subsidi pendidikan kepada golongan dianggap kaya.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan sayap bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan menyifatkan langkah berkenaan sebagai ke belakang dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara yang inklusif.
“Cadangan terbaru kerajaan ini bukan sahaja merupakan kesilapan dasar yang serius, tetapi juga ancaman terhadap masa depan Malaysia.
“Kenyataan ini bukan sekadar kritikan, tetapi seruan kepada semua rakyat Malaysia untuk mempertahankan asas demokrasi dan keadilan sosial negara kita,” kata kenyataan.
Sehubungan itu, Sayap Bersekutu Bersatu menggariskan beberapa sebab utama mengapa cadangan itu perlu ditolak.
“Pertama, sistem pendidikan yang adil dan syumul merupakan 'the great equalizer' bagi sesebuah masyarakat. Sejarah telah membuktikan bahawa negara-negara yang berjaya adalah mereka yang melabur tanpa prejudis dalam pendidikan rakyatnya.
“Dengan menafikan sebahagian masyarakat akses kepada pendidikan berkualiti, kita bukan sahaja mengkhianati rakyat, tetapi juga menggagalkan potensi negara,” kata kenyataan.
Dalam masa sama, kenyataan memaklumkan definisi “kaya” yang tidak jelas membuka pintu kepada manipulasi dan ketidakadilan malah istilah “kaya" yang digunakan dalam cadangan ini bukan sahaja kabur, tetapi juga merbahaya sekali gus membuka pintu kepada ketidakadilan dan diskriminasi.
“Malah cadangan ini juga berpotensi mengancam perpaduan dan daya saing rakyat. Sistem pendidikan awam yang kuat adalah asas kepada negara yang berdaya saing,” kata kenyataan.
Jelas kenyataan lagi, cadangan dilihat seperti langkah populis yang mengorbankan masa depan anak didik negara hanya untuk keuntungan politik jangka pendek.
“Cadangan ini boleh membawa kepada implikasi antarabangsa yang lebih besar malah boleh mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa serta bercanggah dengan komitmen kita terhadap Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 4 yang menekankan pendidikan berkualiti untuk semua,” kata kenyataan.
Sehubungan itu, Sayap Bersekutu Bersatu menggesa kerajaan menarik balik cadangan ini dengan serta-merta dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
Ini termasuk melancarkan pelan komprehensif untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan pendanaan inovatif pendidikan awam termasuk melabur dalam inovasi pendidikan dan pembangunan guru untuk meningkatkan standard pendidikan negara.
#Sayap Bersekutu Bersatu #subsidi pendidikan #golongan kaya #terkini
;