#SayaDigital bakal percepatkan pertumbuhan masyarakat celik digital

Astro Awani
April 12, 2021 15:12 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif #SayaDigital menyasarkan kumpulan sosioekonomi yang lebih berfokus menerusi pelbagai program, seminar dan skim latihan sejak bulan Ogos 2020 yang lalu.
KUALA LUMPUR : Program #SayaDigital anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan menjadi kesinambungan daripada inisiatif MyDigital bagi mempercepat pertumbuhan masyarakat celik digital di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif #SayaDigital menyasarkan kumpulan sosioekonomi yang lebih berfokus menerusi pelbagai program, seminar dan skim latihan sejak bulan Ogos 2020 yang lalu.
"Ini termasuklah Latihan Literasi Digital Asas dan seminar perniagaan secara maya bertujuan membantu masyarakat menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan melalui eRezeki," katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran #SayaDigital pada Isnin.
Bagi menggiatkan lagi inisiatif ini, usaha ini akan diteruskan di pelbagai lokasi sesi outreach dengan kerjasama Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pusat Internet Komuniti sehingga akhir tahun ini dengan sasaran 10,000 pendaftaran di seluruh negara.
"Saya turut difahamkan, pasukan #SayaDigital juga turun ke beberapa kawasan PPR untuk mendedahkan masyarakat setempat dengan pelbagai kemahiran digital selain turut mengadakan acara di perkampungan orang Asli di Bukit Lanjan.
"Ini merupakan satu bukti manifestasi komitmen kerajaan yang mahukan semua lapisan masyarakat menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran negara secara adil dan saksama," kata beliau lagi.
Inisiatif literasi digital ini juga diharap dapat memainkan peranan penting untuk membantu rakyat dan perniagaan kecil yang masih terkesan akibat COVID-19.
"Pada hakikatnya, kesan dan akibat pandemik ini boleh menjadi pendorong untuk masyarakat luar bandar memantapkan kemahiran dan ilmu digital terutamanya dalam kalangan peniaga.
"Saya menyambut baik kempen ini demi masa hadapan digital Malaysia sebagaimana hasrat MyDIGITAL selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030)," ujarnya.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Malaysia #COVID-19 #MDEC #SayaDigital #MyDigital
;