Saya wira orang Melayu dan Islam - Ibrahim Ali

Irwan Muhammad Zain
Disember 14, 2014 12:15 MYT
IBRAHIM: Saya wira orang Melayu dan Islam - Gambar fail
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali hari ini menabalkan dirinya sendiri sebagai wira orang Melayu dan Islam.
Ibrahim berkata, beliau menabalkan dirinya sendiri kerana banyak memperjuangkan isu berkaitan bangsa Melayu dan Islam bersama pertubuhan yang diasaskannya itu.
Katanya, perjuangan beliau dan Perkasa untuk orang Melayu dan Islam terlalu banyak hingga ada pihak yang merasa terancam dan menjauhkan diri dari pertubuhan yang berjuang untuk bangsa Melayu dan bumiputera itu.
"Ada yang nak bergambar dengan Presiden Perkasa pun takut sebab ada yang nasihatkan supaya jangan dekati Perkasa.
"Saya tak pernah undang mana-mana ahli atau pemimpin UMNO sertai Perkasa," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kelima Perkasa di Dewan Muktamar Pusat Islam.
Dalam ucapannya juga, Ibrahim turut menempelak empat pemimpin UMNO yang disifatkan tidak berani membela orang Melayu.
Empat pemimpin tersebut adalah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Muhamad, bekas anggota majlis tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.
"Kalau tak berani bela orang Melayu jangan ganggu Perkasa dan ISMA," katanya lagi.
Dalam ucapannya juga Ibrahim sekali lagi menyatakan kekesalannya terhadap 25 tokoh Melayu yang menghantar surat terbuka kepada rakyat Malaysia baru-baru ini.
"Ini 25 tokoh tersohor, dalam Perkasa ada beratus tokoh tersohor.
"Haram jadah apa 25 orang ini nak sentuh Perkasa dan ISMA?
"Kalau nak tegur, tegur juga Dong Zhong, Hindraf dan kumpulan yang nak kristiankan orang Islam
"Kalau nak bodek kerajaan kenapa sentuh Perkasa?" katanya.
#ibrahim #Islam #ISMA #Melayu #PERKASA #UMNO #wira
;