Saya turut rasai kehilangan Karpal - Ibrahim Ali
Astro Awani
April 17, 2014 13:03 MYT
April 17, 2014 13:03 MYT
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali turut merasa kehilangan atas kematian Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh awal pagi tadi.
Ibrahim berpendapat, Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor telah memberikan sumbangan besar dalam mewarnakan politik Malaysia.
"Karpal telah memberikan sumbangan besar dalam mewarnakan politik Malaysia. Saya turut merasakan kehilangannya. Takziah kepada keluarga mendiang," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI.
Manakala bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin turut menganggap kematian Karpal sebagai perginya seorang peguam veteran yang hebat.
“Nama Karpal akan terus tercatat sebagai satu legenda dalam sejarah,” tulis beliau di laman twitter miliknya.
Sementara itu, Pemuda PAS Malaysia (PPM) menganggap kematian Karpal sebagai kehilangan seorang negarawan yang komited dengan perjuangan menuntut keadilan untuk rakyat.
Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, Karpal akan dikenang sebagai seorang reformis kental yang tidak mengenal erti penat dan lelah.
"Sejak mudanya, beliau telah meletakkan dirinya bersama dalam perjuangan rakyat bagi menuntut hak dan keadilan kepada semua pihak.
"Beliau adalah pejuang rakyat dan rakan-rakan seperjuangannya pasti mengingatinya sebagai reformis kental yang tidak mengenal erti penat dan lelah," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.