'Saya tunggu Gamis, kita bincang secara profesional' - Salahuddin
Madiha Abdullah
Julai 15, 2023 21:33 MYT
Julai 15, 2023 21:33 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengalu-alukan kehadiran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bagi membincangkan isu peningkatan harga barangan asas.
Beliau berkata demikian menerusi satu kemas kini di media sosial, sebagai respons kepada laporan Astro AWANI bertajuk 'Gamis gerakkan petisyen gesa kerajaan tangani kenaikan harga barang', yang disiarkan hari ini.
"Saya akan tunggu Gamis ke pejabat saya di KPDN. Sila datang dan kita boleh adakan perbincangan secara professional dan terbuka.
"Nanti pegawai saya uruskan temu janji dengan Gamis," tulis beliau.
Terdahulu, Gamis bersama kira-kira 400 mahasiswa berkumpul di Kompleks Beli Belah Sogo di ibu negara hari ini bagi mendapatkan petisyen, menggesa kerajaan agar menangani segera peningkatan harga barangan asas.
Petisyen tersebut digerakkan selama dua minggu secara fizikal dan dalam talian sebelum dihantar kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama memorandum.