'Saya tinggalkan satu mata dan satu telinga di Johor, jangan terkejut, saya tiba-tiba menjelma' - Agong
Umavathi Ramayah
Februari 1, 2024 15:12 MYT
Februari 1, 2024 15:12 MYT
KUALA LUMPUR: "Saya tinggalkan satu mata dan satu telinga di Johor untuk memantau apa yang berlaku di sini. (Orang Johor) jangan terkejut, saya akan tiba-tiba menjelma ke mana-mana daerah," titah Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda bertitah demikian dalam satu video yang dimuat naik di Instagram rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan penduduk Johor bahawa Baginda akan senantiasa pulang ke Johor kerana itu adalah kampung Baginda.
"Saya harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini," titah Baginda lagi.
Dalam pada itu, Baginda yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa Rabu lalu bertitah bahawa amanah itu bukan kenaikan pangkat, sebaliknya tambahan tanggungjawab sebagai ketua negara kepada 33 juta rakyat Malaysia.
"Jadi Agong bukan naik pangkat, ini adalah tambahan tanggungjawab. Saya mewakili Raja-Raja lain. Makin berat but it's a duty call, my right to serve," titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut menyifatkan masa berlalu dengan pantas sehinggakan Baginda sendiri tidak perasan.
"Saya tak perasan hari bulan jalan laju, makin laju," titah Baginda.
Bergelar ketua negara, Baginda mengakui bimbang untuk memikul jawatan itu.
"Saya takut, I cannot carry the job. But I'll try my best, the first thing is rakyat must be protected.
"Lidi sepatah mudah dipatah, secekak tak mudah dipatah. Saya ingat itu," titah Baginda lagi.