'Saya tidak teragak-agak kenakan tindakan terhadap pegawai kanan sebabkan kelewatan laksana projek' - Hajiji

Eleanor Michelle Patrick
Ogos 19, 2021 18:33 MYT
Tegas Hajiji, alasan tidak dapat menyiapkan kerja kerana terpaksa bekerja dari rumah sesuatu yang tidak boleh diterima. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Tindakan akan diambil terhadap siapa pun yang didapati menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek pembangunan yang telah diwartakan untuk rakyat Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peringatan tegas itu ditujukan kepada ketua jabatan dan agensi yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka.
"Jangan beri alasan bahawa anda tidak dapat melakukan pekerjaan kerana anda harus bekerja dari rumah disebabkan COVID-19. Beginilah keadaan dunia sekarang (hidup bersama dengan pandemik),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diberitahu bahawa pelbagai projek yang diluluskan oleh kerajaan Persekutuan untuk Sabah, masih di peringkat pra-pelaksanaan hampir pada suku terakhir tahun ini.
“Sekarang sudah bulan Ogos, bagaimana kita dapat menyelesaikan projek-projek ini? Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan kita dan memberikan peruntukannya, namun projek-projek itu tidak dapat dilaksanakan. Saya tidak mahu perkara ini berlaku semasa pentadbiran saya.
"Sekiranya saya mendapati ada yang menyumbang kepada kelewatan itu, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPng) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Hajiji berkata tempoh masa pelaksanaan perlu ditetapkan bagi semua projek pembangunan yang dibiayai Persekutuan di negeri ini.
Beliau berharap rancangan kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula projek pembangunan yang telah diluluskan tetapi belum dilancarkan tidak akan memberi kesan besar kepada Sabah.
Jelasnya, ia tidak seharusnya berlarutan sementara masalah lain seperti masalah infrastruktur asas tetap tidak dapat diselesaikan.
"Kita mesti bertindak sebagai satu pasukan dan melihat keperluan masyarakat secara menyeluruh. Contohnya, sekolah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.
"Segala-galanya mesti dirancang dengan cara yang paling tepat untuk memastikan perkhidmatan penyampaian yang lancar kepada rakyat," katanya lagi.
Sementara itu, Hajiji berkata turut menjadi keutamaan mereka adalah pembasmian kemiskinan kerana peratusan golongan miskin dan miskin tegar masih tinggi di negeri ini.
Katanya, sekarang adalah masa untuk eratkan kerjasama dan mengkaji serta meningkatkan semula peraturan yang sudah lapuk dan tidak relevan dan sesuai dengan peredaran masa.
Setakat 8 Ogos tahun ini, bagi prestasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) negeri Sabah, sejumlah RM1.459 bilion atau 32.31 peratus daripada RM4.517 bilion yang telah diluluskan telah dibelanjakan di bawah Pelan Pusingan Pertama RMKe-12.
#Hajiji Noor #PPNS #Ketua Menteri Sabah #projek pembangunan #sektor perkhidmatan #infrastruktur jalan raya
;