'Saya tidak sangka itu suami saya'
Sinar Harian
Mei 21, 2021 07:45 MYT
Mei 21, 2021 07:45 MYT
KOTA BHARU: "Saya tidak sangka itu suami saya, saya masih terkejut dengan apa yang berlaku," luah Faridah Husin, 49, isteri arwah Wan Hassan Wan Ali, mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Simpang Empat Kampung Sireh, di sini, petang Jumaat.
Faridah yang bekerja sebagai tukang jahit di Pasar Siti Khatijah di sini memberitahu dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang rakannya yang mengatakan ada kebakaran berlaku dua kilometer dari kediamannya.
Katanya, ketika itu dia masih belum mengetahui yang suaminya turut terlibat dalam kemalangan berkenaan dan maut di tempat kejadian.
"Pada mulanya anak kedua saya iaitu Wan Nor Adawiyah beritahu bapa mereka tidak terlibat dalam kejadian itu.
"Namun kali kedua pula saya dikejutkan apabila anak sulung saya, Wan Nor Hidayah pula beritahu yang bapa mereka terlibat dalam kemalangan tersebut kerana dia cam salah satu serpihan kenderaan yang ada di lokasi kejadian," katanya.
Dia berkata, suaminya yang berusia 49 tahun itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak kebelakangan ini, namun suaminya sering kali berulang alik setiap petang dari Kampung Sireh ke Kampung Kota kerana mereka akan berpindah tidak lama lagi.
Faridah yang kelihatan tenang dan reda tidak berganjak di lokasi kejadian sementara menunggu pihak polis dan bomba melakukan kerja-kerja siasatan dan membawa jenazah arwah ke hospital.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan tiga anak, dua perempuan serta seorang lelaki berumur antara 19 hingga 22 tahun.
Artikel asal di Sinar Harian: 'Saya tidak sangka itu suami saya'
#Kampung Sireh
#Wan Hassan Wan Ali
#Faridah Husin
#Wan Nor Adawiyah
#pasar siti khatijah
#tukang jahit
#kebakaran
#bomba