Saya tidak sabar tunggu esok - bapa Azri
Astro Awani
Oktober 7, 2014 17:32 MYT
Oktober 7, 2014 17:32 MYT
Bapa salah seorang anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di dalam bot tempur CB204 yang hilang pada Ahad dan berjaya ditemui petang Isnin, Lt. Azri Bakar menyatakan tidak sabar menunggu hari esok untuk bertemu anaknya.
Bapa Azri, Bakar Hassan berkata, dia bersyukur kerana tidak ada perkara buruk menimpa anaknya selepas hilang selama lebih sehari di tengah laut.
"Saya diberitahu bot yang dinaiki Azri dan anggota lain akan tiba esok. Saya tidak sabar untuk menunggu esok sebenarnya.
"Saya bersyukur semuanya selamat. Alhamdulillah tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada semua," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Isnin, Bakar melahirkan kebimbangan terhadap situasi yang menimpa anaknya selain menyifatkan pemergiannya ke Kota Kinabalu, Sabah untuk bersama ahli keluarga yang lain dan menunggu perkembangan kejadian dengan lebih dekat.
Pada Selasa, Penglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar berkata, CB204 akan tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar, pada kira-kira 8 pagi Rabu.
Tambah Bakar, keluarganya turut bercadang untuk mengadakan majlis kesyukuran dalam masa terdekat.
"Saya akan adakan sedikit majlis kesyukuran kerana tidak ada apa-apa yang buruk berlaku. Susah mahu digambarkan perasaan syukur pada masa ini," ujarnya.
Selain Azri, enam lagi anak kapal bot itu ialah BK PAP Charles Cristopher Muni, BM TMK Ince anak Ewin, BM TMK Steven Hudson anak Miso, BM JTP Nor Azuan Ariffin, LK KOM Sulhajji Daah dan LK I PAP Azhry Maani.
Bot tempur yang dinaiki tujuh kru belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi Ahad untuk melaksanakan penggiliran tugas dengan bot yang beroperasi di Gugusan Semarang Peninjau, Pulau Layang-layang, sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring KD Paus pada 11.15 pagi hari yang sama.
Bot tempur itu dikesan kira-kira 30 batu nautika ke timur Pulau Layang-layang selepas komunikasi sehala antara pasukan mencari dengan anak kapal bot berkenaan pada 4.15 petang Isnin.