Saya tidak rasa maruah Melayu tercabar - Pak Lah

Hafiz Marzukhi
September 17, 2015 20:04 MYT
ABDULLAH: Mungkin ada pihak yang merasakannya (maruah Melayu tercabar), tetapi saya tidak merasakan maruah kaum Melayu tercabar. -Foto Astro AWANI / Hafiz Marzukhi
Maruah kaum Melayu tidak tercabar di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi.
"Mungkin ada pihak yang merasakannya (maruah Melayu tercabar), tetapi saya tidak merasakan maruah kaum Melayu tercabar," kata Abdullah.
Beliau diminta mengulas mengenai penganjuran Himpunan Rakyat Bersatu pada Rabu.
"Bagi saya, janganlah lakukan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.
"Jika ada kumpulan yang ingin suarakan kehendak atau pandangan mereka, silalah tetapi jangan sampai cetuskan pergaduhan," kata Abdullah ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur petang tadi.
Sementara itu, Abdullah turut menafikan kewujudan konsep rasisme dalam Islam.
"Tidak," jawab beliau sambil menggelengkan kepalanya ketika ditanya oleh wartawan.
Sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata konsep rasisme dalam Islam adalah dibenarkan.
#Abdullah Badawi #Himpunan Rakyat Bersatu #IKIM #Institut Kefahaman Islam Malaysia #kaum #rasisme
;