'Saya tidak pernah menyesal terhadap diri saya' - Muhyiddin

Harits Asyraf Hasnan
Julai 29, 2015 17:56 MYT
MUHYIDDIN: Saya terimalah mungkin ini sudah ditakdirkan, sebagai seorang Islam kita tidak boleh menolak (takdir) ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa beliau tidak pernah menyesal dengan tindakan yang dilakukan sehingga menyebabkan pelucutan jawatan beliau.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, tindakannya itu adalah tanggungjawab serta amanah yang harus dipikul.
"Saya percaya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu dan masih Timbalan Presiden (UMNO) saya masih bertanggungjawab dengan amanah yang harus saya pikul sebaik-baiknya. Kalau saya tidak pikul saya pecah amanah dan saya gagal.
"Saya terimalah mungkin ini sudah ditakdirkan, sebagai seorang Islam kita tidak boleh menolak (takdir) ini.
"Saya tidak pernah menyesal terhadap diri saya hanya kerana saya telah bertanyakan apa yang saya fikir adalah hak," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media pertama selepas digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri di kediamannya di Bukit Damansara.
Muhyiddin berkata, sebagai seorang Islam beliau tidak boleh berbohong sekaligus beliau memikirkan adalah perlu untuk dirinya memberikan pandangan walaupun mungkin ia dilihat agak 'pedas' didengar pihak tertentu.
Mengulas kaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penamatan perkhidmatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Muhyiddin berkata siapa sahaja yang mengganti Abdul Gani harus menunaikan tanggungjawab dengan menyegerakan apa-apa sahaja tindakan undang-undang yang perlu.
"Saya berharap siapa sahaja yang bakal menggantikan Abdul Gani bukan sahaja menunaikan tanggungjawab yang besar malah dengan menyegerakan apa-apa sahaja tindakan undang-undang yang perlu supaya rakyat yang menunggu berkenaan hal sebenar 1MDB mendapat jawapan yang muktamad," katanya.
Malah, Muhyiddin turut berpendapat segala persepsi yang berbangkit berkenaan 1MDB dapat dijelaskan dengan baik supaya tidak wujud sebarang keraguan walaupun sedikit.
"Bagi saya ini adalah amat penting bagi mendapatkan satu 'closure' yang baik. Sebab itu siapa sahaja yang diberi tanggungjawab sebagai Peguam Negara saya fikir amat besar sekali.
"Saya harap beliau dapat menjalankan tugas, diberikan sokongan dan bantuan termasuk agensi-agensi penyiasat yang lain supaya apa sahaja siasatan yang sudah dijalankan itu dapat nanti diputuskan dan kalau perlu diambil tindakan dari sudut mana-mana undang-undang sekaliupun," katanya lagi.
#1MDB #Abdul Gani Patail #lucut jawatan #Muhyiddin Yassin #Timbalan Perdana Menteri #UMNO
;