Saya tidak peduli nasib diri, lebih risau masa depan negara - Daim
Firdaus Azil
Januari 29, 2024 12:02 MYT
Januari 29, 2024 12:02 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, 85, menegaskan pertuduhan yang beliau hadapi lebih kepada bermotifkan politik.
Tokoh korporat itu berkata, beliau ‘tidak sabar’ menunggu hari perbicaraan bagi tujuan membersihkan namanya.
Dalam menghadapi pendakwaan ini, Daim berkata, bukan nasibnya yang beliau risaukan, sebaliknya, kebimbangan hartawan itu lebih menjurus kepada masa depan negara.
Daim mendakwa, beliau tidak melalui zaman Malaysia Baharu yang pernah dijanjikan suatu masa dahulu.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam melaksanakan janji reformasi dengan mendakwa, institusi kerajaan yang sepatutnya bebas kini dipergunakan dalam usaha menjatuhkan musuh politik.
“Kejujuran, integriti dan tadbir urus semuanya ‘ke laut.’ Institusi bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), (Jabatan) Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik. Inikah Malaysia Baharu yang dijanjikan?
“Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara atau mengkritik kerajaan atau (Perdana Menteri) (Datuk Seri) Anwar, malah menteri mengeluarkan ugutan hantar kereta polis ke rumah mereka.
"Inikah Malaysia Baharu yang dijanjikan?” soal Daim lagi.
Daim sepatutnya membacakan kenyataan media beliau, namun, isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid membuat keputusan mengedarkan teks ucapan itu selepas memahami keuzuran suaminya untuk bercakap kepada wartawan.
Terdahulu Daim, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan tidak mengisytiharkan harta sewaktu pernyataan bertulis dengan bersumpah kepada SPRM.
Beliau mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, dan minta dibicarakan.
Hakim kemudian membenarkan beliau diikat jamin pada kadar RM280,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Mac, 2024.
Dalam pada itu, Daim berkata, beliau merupakan salah seorang penyokong kepada Pakatan Harapan dan Anwar sewaktu Pilihan Raya Umum 2018, ketika negara dibayangi skandal 1MDB.
“Tapi kini kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran Malaysia yang menyalah guna kuasa, di samping janji-janji reformasi yang dimungkiri. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tapi melakukan sebaliknya.
“Demi mencapai jawapan Perdana Menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri itu digugurkan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Daim menyeru rakyat untuk melakukan apa yang terdaya untuk memelihara dan menyelamatkan negara dan berkata mereka layak untuk mendapat apa yang dijanjikan.
“Kepada sahabat lama saya, Anwar Ibrahim, ingatlah firman Allah SWT dalam surah An-Nur, bahawa mereka yang menyebarkan fitnah keji di kalangan orang-orang mukmin akan mendapat balasan pedih di dunia dan akhirat.
“Dan sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui,’” katanya lagi.
Daim tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, sekitar 8.45 pagi, ditemani isteri beliau Na’imah Abdul Khalid dan anak mereka, Muhammed Amir.
Biarpun dalam berkeadaan berkerusi roda dan sedikit uzur, Daim masih sempat senyum dan mengangkat tangan kepada kumpulan media yang menanti sejak 7 pagi untuk membuat liputan prosiding beliau.
Antara harta yang tidak diisytiharkan ialah akaun bank iaitu Amanah Saham Nasional Berhad, dan Amanah Saham Nasional, serta tujuh kereta mewah termasuk Rolls Royce Royce 2 Axl Rigid Body dan Austin Morris Austin.
Turut tersenarai nama 38 syarikat yang tidak diisytiharkan termasuk Avillion Berhad, Avillion Hotel Group Bhd, Dream Cruiser Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd dan Ibu Kota Developments Sdn Bhd, selain 20 hartanah premium di sekitar Kuala Lumpur.
Daim diwakili peguam M Puravelan, Nizamuddin Hamid, Moganasundari, N Rajesvaran dan Sachpreetaj Singh, manakala pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Berikut kenyataan penuh Tun Daim Zainuddin:
"Saya tidak akan berbicara mengenal tuduhan bermotifkan politik terhadap saya ini.
Saya tidak bersalah dan tidak sabar menunggu hari perbicaraan kelak.
Namun, saya ingin menyatakan sesuatu mengenai keadaan negara kita.
Seperti ramai yang lain yang mahukan sebuah Malaysia baharu, saya turut menyokong Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim pada 2018. Ketika itu, negara dihantui bayang-bayang skandal 1MDB.
Tetapi kini, kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran yang menyalahguna kuasa, di samping janji-janji reformasi yang dimungkiri. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan
sebaliknya.
Demi mencapai jawatan Perdana Menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah timbalan perdana menteri itu digugurkan. Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?
Kejujuran, integriti dan tadbir urus baik semuanya ke laut. Institusi bebas seperti SPRM, Peguam Negara dan LHDN diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik.
Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara atau mengkritik kerajaan atau Anwar, malah menteri mengeluarkan ugutan menghantar kereta polis ke rumah mereka.
Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Seharusnya Anwar mesti sedar yang semua ini ada tempiasnya.
Ketika sibuk melunaskan dendam yang lampau, ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitaan rakyat biasa berterusan.
Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?
Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah.
Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya terhadap saya.
Tetapi saya khuatir nasib negara saya.
Jadi, saya menyeru anda melakukan apa yang terdaya dalam memelihara dan menyelamatkan negaraini.
Jangan takut bersuara terhadap Anwar dan rejimnya. Sesebuah kerajaan bertanggungjawab
kepada rakyatnya, bukan sebaliknya. Seperti kata pepatah, "Untuk memenangkan kejahatan, cukup sekadar orang baik tidak melakukan apa-apa," Rakyat layak mendapat yang dijanjikan.
Kepada sahabat lama saya, Anwar Ibrahim, ingatlah akan firman Allah swt dalam Surah al-Nur, bahawa mereka yang menyebarkan fitnah keji di kalangan orang-orang mukmin akan mendapat balasan pedih di dunia dan akhirat. Dan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.
Daim Zainuddin
29 Januari 2024"