'Saya tidak mahu ada konfrontasi' - Syed Saddiq buka mulut isu panjat pagar
Faris Danial Razi
Februari 2, 2020 17:21 MYT
Februari 2, 2020 17:21 MYT
Gambar yang memaparkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memanjat pagar ketika berlaku kekecohan pada Majlis Rapat Umum ARMADA Parti Bersatu di Ulu Tiram, Johor Jumaat lalu, menjadi tular sejak semalam.
Susulan itu, Syed Saddiq hari ini tampil menjelaskan mengapa beliau terpaksa mengambil tindakan itu.
Katanya ia bagi mengelak daripada bertembung dengan kumpulan yang dipercayai cuba menyerangnya pada majlis tersebut.
Kata Syed Saddiq lagi, beliau hanya akur dengan nasihat polis dan juga penganjur yang berada di tempat kejadian tersebut ketika itu.
“Pihak penganjur dan polis berada di sana ketika itu, dan memberitahu jika kami berdepan dengan mereka (kumpulan berkenaan), situasi akan jadi lebih buruk.
“Jelas sekali kami tidak mahu ada apa-apa konfrontasi kerana ia boleh membawa kepada serangan fizikal dan itu adalah perkara terakhir yang kami mahu berlaku," katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) di ibu negara pada Ahad.
Tambahnya, akibat daripada kejadian huru-hara yang berlaku itu, beliau terpaksa bertindak membuat keputusan untuk menggunakan ‘jalan belakang’.
“Saya menggunakan laluan yang berbeza, bukan hanya diri saya sendiri tetapi Exco Negeri Melaka, Rafiq (Naizamohideen) dan bekas Exco Negeri Johor, Mazlan Bujang, yang juga bersama kami.
"Jadi kami menggunakan laluan lain, yang membawa kami ke kawasan hutan,” jelas Syed Saddiq lagi.
Setakat ini, Polis Johor telah menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes kekecohan tersebut dan ketiga-tiga mereka berumur dalam lingkungan 30-an dan perintah reman terhadap mereka akan dipohon daripada mahkamah hari ini.
Dalam pada itu, Syed Saddiq tidak menolak kemungkinan bahawa kumpulan individu tersebut mempunyai kaitan dengan sebuah parti lawan.
"Saya mengesyaki seperti itu berdasarkan apa yang diberitahu kepada saya oleh polis ketika saya diberikan penerangan.
"Saya katakan itu selepas diberi penerangan, jadi saya berpandukan siasatan polis.
"Biarkan polis menyiapkan siasatan dan saya sangat gembira mendengar tindakan telah diambil terhadap tiga orang dan saya berharap ia tidak berakhir di sana," jelas Syed Saddiq.
BACA: Seorang lagi ditahan bantu siasatan kes kekecohan program Armada
#ARMADA
#Bersatu
#isu panjat pagar
#mahkamah
#Menteri Belia dan Sukan
#polis
#saman
#serangan
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#Ulu Tiram