'Saya tidak kisah dilabel Menteri Kewangan tidak popular' - Guan Eng

Bernama
Jun 11, 2018 10:37 MYT
LIM: Benar, liga dan permainannya sudah berbeza. Tapi, apa yang pasti, yakinlah bahawa saya tahu tugas yang digalas kerana saya sendiri adalah seorang akauntan. - Astro AWANI/Fail
Bermula sebagai eksekutif kanan di sebuah bank, seterusnya Ahli Parlimen dan kini bergelar Menteri Kewangan, sudah cukup untuk menggambarkan sisi perjalanan karier politik 'Saudara' Lim Guan Eng.
"Dari Pulau Pinang ke Putrajaya, persekitaran 'dakwat hitam' kerana mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan di Pulau Pinang sehinggalah ke lautan 'dakwat merah' di Putrajaya," kata Lim dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya, di sini.
Kenyataannya yang sarat dengan maksud mendalam itu adalah sebagai membandingkan tugas terdahulu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selama 10 tahun dengan tanggungjawab sekarang di dalam Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan negeri Pulau Pinang yang berpegang kepada prinsip kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (CAT), pernah dirujuk Laporan Ketua Audit Negara sebagai pengurusan kewangan negeri terbaik apabila berjaya melipatgandakan rizab asetnya kepada RM1.83 bilion dan mengurangkan hutang kepada RM65 juta – satu pencapaian bermakna berbanding jumlah hutang negara dan liabiliti yang bernilai RM1 trilion.
Mengulas tanggungjawab sebagai anggota Kabinet, pemimpin berusia 57 tahun itu menegaskan apa yang menjadi keutamaannya adalah untuk mengurangkan perbelanjaan negara.
Justeru, Lim mengakui tidak kisah jika dirinya dilabel atau dikenang sebagai Menteri Kewangan yang tidak popular.
"Bagi saya proses mengurangkan perbelanjaan, membersih serta memulihkan semula negara ini dibuat demi masa depan anak-anak kita."
Sambil menegaskan betapa seriusnya impak kewangan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu menerusi syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau berkata: "Tranche akhir bon 30 tahun 1MDB berjumlah RM5 bilion yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan, adalah dijadualkan pada tahun 2039."
Beliau sempat berkongsi pengalaman hari pertama melaporkan diri sebagai Menteri Kewangan pada 22 Mei lepas apabila diminta menandatangani dokumen berkaitan 1MDB.
"Saya beritahu mereka...tidak, saya tidak akan tandatangani (dokumen) ini. Beri saya dokumen lain," katanya.
Malah, pada hari sama beliau mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) selama ini menjadi 'penyelamat' dengan menunaikan obligasi pembayaran hutang 1MDB sejak April 2017 sehingga mencecah RM6.98 bilion.
"Saya mahu anak-anak kita memiliki kehidupan lebih baik daripada kita. Oleh itu, perjuangan ini adalah untuk mereka yang sepatutnya ada masa depan yang jauh lebih bermakna berbanding hari ini.
"Kita perlu memastikan agar tidak menggadaikan masa depan anak-anak. Namun, itulah yang mereka (kerajaan sebelum ini) lakukan sejak sekurang-kurangnya 10 tahun lepas."
Lim bagaimanapun mengakui keadaan pasti sukar tanpa tindakan berani rakyat membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan mengakhiri pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Beliau yakin, jika pertukaran kerajaan tidak berlaku, sudah pasti hutang berjumlah RM1 trilion itu akan melonjak kepada RM2 trilion atau RM3 trilion - paras yang tidak mungkin dapat dipulihkan.
"Kerajaan Pakatan Harapan sedia maklum mengenai apa yang perlu dilakukan (bagi menangani masalah itu," katanya.
Nada penuh yakin yang dilontarkannya itu bersandarkan kejayaan memulihkan keadaan kewangan negeri Pulau Pinang sebelum ini.
"Menerusi pengalaman di Pulau Pinang, kita sememangnya tahu tindakan yang perlu diambil. Persoalan sama ada kita boleh mengendalikan tekanan itu, sudah semestinya menjadi satu cabaran. Ia tidak mudah tetapi selagi sepakat, kita pasti boleh," katanya.
Mengulas kritikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan, khususnya beliau selaku Menteri Kewangan yang disifatkan masih meneruskan lagak pembangkang apabila mendedahkan keadaan kewangan negara terutama jumlah hutang yang besar, Lim berpendapat bahawa tiada salahnya berkongsi kebenaran dengan rakyat mahu pun pelabur kerana itulah fakta yang mereka ingin ketahui.
"Itulah mentaliti (sebelum ini) 'Jangan beritahu mereka semua' perkara. Mereka (kerajaan sebelum ini) tidak biasa dengan cara ini (berterus terang). Kita sebaliknya memberitahu semua dan seadanya.
"Mereka 'memperelokkan' angka tapi kita berbuat sebaliknya. Mereka melakukan perakaunan kreatif namun ini bukanlah cara kita.
"Pendirian ini tidak berubah walaupun saya kini dalam Kerajaan Persekutuan. Inilah cara saya. Saya masih boleh singgah dan makan di gerai-gerai.
"Benar, liga dan permainannya sudah berbeza. Tapi, apa yang pasti, yakinlah bahawa saya tahu tugas yang digalas kerana saya sendiri adalah seorang akauntan," katanya. -- Bernama
#1MDB #Lim Guan Eng #Menteri Kewangan
;