Saya tidak gusar serangan pembangkang - Zambry

Shafiq Noordin
November 29, 2017 16:36 MYT
Zambry berkata, selaku Menteri Besar, beliau akan terus menjalankan tanggungjawabnya dan bersikap 'gentleman' dengan segala tuduhan yang dilemparkan. - Gambar fail
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan beliau tidak gusar dengan serangan peribadi yang dilakukan secara bertali arus oleh pihak pembangkang negeri ini.
Katanya, beliau sedar serangan itu hanya satu taktik pembangkang untuk membunuh karakternya, yang sering mereka lakukan, terutama menjelang musim pilihan raya umum (PRU).
“Serangan-serangan bersifat peribadi ini bertujuan menjatuhkan imej saya sahaja kerana akhirnya mereka mahu mewujudkan imej negatif di kalangan rakyat.
“Saya tidak risau kerana ia memang cara mereka. Pada akhirnya nanti, biarlah rakyat yang menilai saya melalui apa yang telah saya lakukan sebagai Menteri Besar selama ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.
Zambry diminta mengulas mengenai tindakan parti pembangkang yang sering mengaitkannya dengan pelbagai tuduhan baru-baru ini.
Katanya, selaku Menteri Besar, beliau akan terus menjalankan tanggungjawabnya dan bersikap “gentleman” dengan segala tuduhan yang dilemparkan.
“Sebagai contoh, pada sidang Dewan (Undangan Negeri) baru-baru ini, saya secara 'gentleman' telah menjawab segala tomahan, tuduhan yang dilemparkan secara profesional. Saya juga beri mereka peluang untuk bercakap secara berhadapan.
“Sebaliknya pihak pembangkang terus bermain dengan fakta-fakta untuk mengelirukan rakyat serta memburuk-burukkan kerajaan negeri.
“Dalam pada itu, mereka memaki hamun saya, menggunakan perkataan macam-macam, tidak kira di dalam Dewan ataupun (semasa) ceramah.
"Jadi, saya tidak tahu, adakah ini ciri-ciri pemimpin yang rakyat mahukan sebenarnya?” soal beliau.
#pembangkang #pilihan raya umum #PRU #serangan peribadi #Zambry Abd Kadir
;