'Saya tidak dijemput, padahal saya Melayu' - ADUN PKR
Rahimah Abdullah
Oktober 6, 2019 17:49 MYT
Oktober 6, 2019 17:49 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kota Damansara, Shatiri Mansor berpendapat acara besar yang membincangkan kepentingan orang Melayu seperti Kongres Maruah Melayu perlu dilakukan secara tertutup.
Jelasnya, ia bagi mengelak program berkenaan dipolitikkan dan menimbulkan sebarang persepsi yang hanya menyebabkan ketidaktentuan dalam negara.
Malah beliau berpendapat tindakan penganjur yang didakwa hanya menjemput pihak-pihak tertentu hanya menimbulkan sesuatu polemik politik.
"Mengenai jemputan, saya dan beberapa orang lagi tidak dijemput, padahal saya pun Melayu.
"Apabila diuar-uarkan dengan begitu besar, orang akan tanya kenapa saya tidak dijemput? Jadi satu persoalan. Kalau tertutup biarkan ia tertutup," katanya kepada Astro AWANI selepas pelancaran Kempen Pink October Project (POP) di Thomson Hospital Kota Damansara di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, beliau tidak marah kerana tidak mendapat jemputan, sebaliknya mempersoalkan tindakan penganjur yang didakwa memilih orang tertentu sahaja.
"Saya tidak marah sebab ia adalah hak penganjur, bukan hak saya. Jadi apabila berlaku pemilihan begitu, ia dilihat selected. Jadi kita akan persoalkan, apa tujuan yang sebenarnya. Orang akan baca apa motifnya, dan orang akan mula mentafsirkannya.
"Manusia ini dia punya tafsiran dia macam-macam. Ini jemput, itu tak jemput. Ini datang, itu tak datang. Pada saya, ia akan menjurus kepada isu politik. Tetapi kalau tak berlaku baguslah, tapi itulah saya risau.
Kongres Maruah Melayu diadakan pada pagi Ahad anjuran Pusat Pengajian Kecemerlangan Universiti Malaya dengan kerjasama bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Acara kemuncak pada program itu ialah Amanat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.