"Saya tidak akan tinggalkan PKR, kecuali ada yang mahu 'tendang' saya..." - Azmin Ali

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 15, 2019 12:47 MYT
Menurut Azmin, tiada keperluan untuk beliau meninggalkan PKR selepas diberi mandat besar oleh ahli. - Gambar fail
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, beliau tidak akan meninggalkan parti itu.
Menurut Azmin, tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan beliau serta pemimpin parti menerima mandat besar daripada anggota parti pada pemilihan lalu.
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, terpulang pada kepimpinan parti sekiranya terdapat sesetengah pihak yang cemburu dan mahu beliau disingkirkan.
"Saya telah dipilih dan saya diberi mandat besar dalam PKR dan bukan saya sahaja, seluruh pasukan PKR kita dapat undi dua pertiga dalam pemilihan parti.
"Jadi tidak ada sebab untuk saya tinggalkan parti melainkan ada yang cemburu nak tendang saya keluar daripada parti. Itu terpulang kepada mereka.
"Tapi saya komited kepada parti dan akan tetap dalam parti dan bina parti dan sokong kepimpinan dan juga ahli," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ahli Biro Politik dan Lembaga Penasihat PKR, Syed Husin Syed Ali yang tidak menolak kemungkinan Azmin akan menubuhkan parti baharu disebabkan pergeseran politik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Azmin, apa yang disuarakan Syed Husin merupakan pandangan bekas Timbalan Presiden PKR itu.
"Ini (parti baharu) pandangan Syed Husin, dia sudah berpuluh tahun dalam politik, tidak ada kesan pun.
“Mungkin dia cemburu dengan kejayaan Tun Dr Mahathir yang mendapat sambutan gemuruh daripada rakyat Malaysia. Biasalah pandangan dia," katanya.
Pada pemilihan parti 2018, Azmin mengalahkan pencabarnya Rafizi Ramli dengan majoriti lebih 4,000 undi manakala Anwar pula menjadi Presiden selepas menang tanpa bertanding.
#Azmin Ali #Menteri Hal Ehwal Ekonomi #PKR #Syed Husin #timbalan presiden #tinggalkan PKR
;