'Saya tidak akan tinggalkan Malaysia, akan tetap lawan tuduhan' - Najib
Agensi
Jun 20, 2018 00:17 MYT
Jun 20, 2018 00:17 MYT
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mendakwa pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta penasihat-penasihatnya menyembunyikan maklumat mengenai dana berkenaan daripadanya.
Dalam satu temubual eksklusif dengan Reuters, Najib mendakwa beliau tidak patut dipersalahkan berhubung skandal 1MDB yang melibatkan dana berbilion ringgit itu.
Malah ahli Parlimen Pekan itu mendakwa beliau tidak mengetahui bahawa wang berbilion ringgit dalam akaun peribadinya mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Selain itu, Najib turut mendakwa beliau tidak tahu menahu dana itu kemudiannya digunakan untuk membeli kapal pesiaran mewah, lukisan, permata dan hartanah bernilai tinggi.
"Saya tidak ada kaitan dengan kapal layar, lukisan... saya tak pernah lihat lukisan itu semua," kata Najib dalam temu bual yang diadakan di Langkawi.
BACA ARTIKEL PENUH PENJELASAN NAJIB RAZAK DI SINI
Dalam temubual itu juga, Najib turut menjelaskan beg dan barang kemas yang dirampas di kediamannya merupakan hadiah perkahwinan anak perempuannya.
Najib berkata, menantunya Daniyar Nazarbayev merupakan anak saudara kepada Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev, yang juga didakwa menghadiahkan banyak beg tangan kepada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
"Orang mungkin sukar memahami, contohnya menantu saya mendapat Birkin dari sumbernya, lima atau enam dalam satu masa," katanya.
Najib juga menjelaskan beliau tidak akan 'melarikan diri' dari Malaysia malahan akan melawan tuduhan yang dikenakan ke atasnya biarpun berdepan kemungkinan dihukum penjara.
"Tidak, saya tidak pernah merancang untuk tinggalkan Malaysia. Jika saya berbuat demikian, akan ada tanggapan bahawa saya bersalah.
"Saya tidak mahu menjadi buruan sepanjang hidup saya. Saya mahu bersihkan nama," katanya.
* Astro AWANI akan cuba mendapatkan komen dari mana-mana pihak berkaitan dengan 1MDB.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#birkin
#kapal mewah
#Kazakhstan
#lukisan
#Malaysia
#Najib Razak
#Rosmah Mansor