Saya tidak akan minta maaf, kata pembikin video Raya bersama anjing
Astro Awani
Julai 31, 2013 15:11 MYT
Julai 31, 2013 15:11 MYT
Saya tiada niat untuk menghina Islam dan saya tidak akan memohon maaf untuk sesuatu yang saya anggap bukan satu kesalahan.
Itulah adalah kata-kata pembikin video kontroversi YouTube bertajuk ‘Video Menghina Islam 1 Hari di Hari Raya’, yang dikatakan menghina Islam.
Maznah Mohd Yusof, yang juga dikenali sebagai Chetz Yusof, berkata dia tidak akan memohon maaf kerana berpendapat ia bukan kesalahan ataupun tanggungjawabnya sekiranya orang ramai tersalah faham tentang maksud sebenar video itu.
“Jikalau saya memohon maaf untuk video itu, ia bermaksud saya bersetuju bahawa saya membuat sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Video itu bukan menghina Islam. Membuat tuduhan bahawa saya ingin menghina Islam ialah seperti memfitnah saya,” kata jurutera berumur 38 tahun itu kepada Astro Awani.
Video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu memaparkan Chetz memakai Baju Melayu hitam dan membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula serta mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.
Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).
Ia turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari Chetz sekeluarga" dengan gambar seorang lelaki duduk bersama tiga ekor anjing di atas sofa.
Chetz mengakui beliau adalah pembikin asal video berusia tiga tahun itu dan video itu dimuat naikkan semula tanpa kebenarannya.
Dia juga mendakwa tajuk video itu telah diubah oleh orang yang memuat naikkan semula video itu untuk menggambarkan dia menghina Islam.
“Adakah membela anjing itu sesuatu yang tidak Islamik. Saya hendak bertanya, siapa yang sebenarnya menghina Islam? Saya pastikan anjing-anjing saya bersih. Saya menjaga mereka dengan baik. Jadi, apa masalahnya?
“Saya menjaga anjing-anjing saya mengikut ajaran Islam dan Quran. Orang-orang yang memuat naik semula video itu salah tafsir kandungan video dan terlalu beremosi.
“Saya hanya merakamkan ucapan Hari Raya. Saya hendak menunjukkan di video itu bahawa saya pergi berjalan dengan anjing-anjing saya di waktu pagi. Jadi, apa isunya? Saya benar-benar tidak faham.
“Bersihkan anjing-anjing saya? Adakah salah untuk saya bersihkan anjing-anjing saya? Saya bersihkan seluruh badan anjing-anjing itu. Dalam video saya, saya hanya mencuci tangan saya.
“Mesej saya adalah kita sambut Hari Raya bukan sahaja dengan manusia tetapi dengan spesis lain termasuk haiwan,” katanya.
Chetz berkata dia kini bimbang tentang keselamatannya, anjing-anjingnya serta keluarganya selepas menerima ancaman bunuh menerusi SMS.
“Saya telah membuat laporan polis semalam tentang orang-orang yang telah memuat naikkan video itu semula dan menuduh saya menghina Islam. Hari ini saya akan membuat lagi satu laporan polis mengenai ancaman bunuh yang saya terima,” katanya.
Video itu disebarkan dengan berleluasa di laman sosial dimana orang ramai berkongsi pendapat mereka tentangnya.