Saya tidak akan lupakan Satok - Abang Jo
Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 23, 2022 04:18 MYT
Januari 23, 2022 04:18 MYT
KUCHING: Walaupun telah berhijrah ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjanji tidak akan sesekali melupakan penduduk di Satok.
Ahli DUN (ADUN) Gedong itu berkata, di bawah kerajaan negeri Sarawak, pelan pembangunan di semua kawasan akan dilaksanakan secara konsisten khasnya di kawasan luar bandar.
Tambahnya, keputusan untuk bertanding di Gedong sebelum ini sepenuhnya atas komitmen yang tinggi untuk membawa pembangunan yang sekata antaranya di kawasan barat Sarawak.
“Sebelum saya bertanding di Gedong, saya minta restu rakyat di Satok terlebih dahulu, pastinya kita sudah mempunyai perancangan untuk membangunkan lembangan pesisiran ini daripada Gedong, Simunjan, Lingga, Asajaya, Sadong Jaya, terus ke Sebuyau.
“Sudah tentu kita dapat membuka sektor pertanian dan sektor pelancongan, Gedong dengan Satok tidak akan begitu jauh perbezaannya, jika jalan raya pesisir ini siap, perjalanan ke Gedong daripada Kuching akan lebih singkat sekitar 40 minit menerusi Samarahan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Kesyukuran Bersama Ketua Menteri Sarawak anjuran Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) di sini malam tadi.
Tambahnya, apa yang penting adalah usaha kerajaan untuk membuka kawasan pertanian baharu terus dilaksanakan dengan konsisten bagi melancarkan ekonomi penduduk di luar bandar.
“Kini kita sedang membina benteng di Kampung Sebangan dan Sebuyau dengan peruntukan RM400 juta bagi memastikan produk pertanian dapat diusahakan, terutama penanaman kelapa spesies terbaik bagi tujuan komersil.
“Kesimpulannya, kita akan bangunkan kawasan luar bandar dengan meningkatkan kegiatan ekonomi tempatan, di seluruh barat Sarawak juga akan kita bangunkan selari dengan wilayah tengah Sarawak,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) lalu, Abang Jo melepaskan Satok dan bertanding di Gedong buat pertama kalinya sebelum memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,607 undi.