'Saya terpaksa berhutang supaya boleh terus buka gerai' - Peniaga yong tau foo
Astro Awani
Mei 8, 2020 13:31 MYT
Mei 8, 2020 13:31 MYT
Selepas sebulan tidak berniaga ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Huszaimi Abu Hassan, 47 tahun, mula terasa peritnya.
Masakan tidak, akibat pelaksanaan PKP susulan penularan wabak COVID-19 itu, dia langsung tiada sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
Namun, peniaga yong tau foo di Bagan Ajam ini yakin, rezeki tetap ada selagi tidak berputus asa.
Justeru, demi kelangsungan hidup bersama isteri dan lima anak, dia bertekad membuka semula gerainya sebaik PKP memasuki fasa ketiga, walaupun menghadapi masalah modal pusingan.
Apatah lagi, wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dipohonnya masih belum diterima.
Tertekan dengan situasi itu, Huszaimi memutuskan untuk menukar cara berniaga dengan berhutang antara RM200 dan RM300 sehari dari pemborong yang membekalkan bahan mentah, bagi memastikan gerainya terus beroperasi.
"Sejak dari PKP ketiga, saya sudah nampak kesannya. Tetapi, saya perlu meneruskan untuk mencari nafkah keluarga. Jadi, saya terpaksa meneruskan berniaga dalam bulan Ramadan tahun ini.
"Dalam bulan Mac sampai PKP ketiga ini, saya tiada pendapatan. BPN yang saya pohon pun, masih lagi dalam proses. Tetapi demi meneruskan perniagaan, saya terpaksa berhutang dengan pemborong untuk membuka kembali perniagaan ini," katanya.
Selain membayar hutangnya sedikit demi sedikit kepada pemborong, Huszaimi juga mengambil keputusan berniaga pada Ramadan ini walaupun selama ini, gerainya tidak pernah dibuka pada bulan mulia ini.
Namun, jumlah pelanggan yang tidak ramai susulan PKP, menyebabkan pendapatan diperolehi hanya cukup untuk membeli keperluan harian.
Pada masa sama, dia turut berdepan dugaan apabila dikatakan tidak layak menerima bantuan kerajaan negeri dan bantuan peniaga yang disediakan Zakat Pulau Pinang (ZPP).
"Saya ada memohon duit zakat tetapi permohonan saya ditolak, dengan alasan permohonan tidak diterima. Maknanya, mungkin ia tak lengkap. Walaupun saya sudah memohon dua kali, tetap tak lengkap.
"Mengenai bantuan kerajaan negeri Pulau Pinang, pun kita dah buat permohonan melalui persatuan penjaja, juga tak diterima, dengan alasan kami tak berniaga seperti orang lain yang menjaja di tepi jalan, pada hal kami ada lesen," katanya.
Bagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia, Huszaimi mengakui dia menyokong langkah kerajaan menguatkuasakan PKP bagi membendung wabak COVID-19.
Menurutnya, di sebalik dugaan kekurangan pelanggan dan terpaksa beroperasi pada Ramadan, dia bersyukur kerana menikmati faedah moratorium penangguhan bayaran pinjaman selama enam bulan, sekali gus meringankan bebannya.
#anak
#BPN
#COVID-19
#gerai
#hutang
#impak PKP
#keluarga
#kerajaan
#kesan PKP
#pembekal
#pemborong
#pendapatan
#peniaga
#penjaja
#perniagaan
#PKP
#PKPB
#pulau pinang
#Ramadan
#zakat