Saya terima nasihat, teguran dengan hati terbuka - Khairul Aming
Fahmi Izuddin
April 3, 2023 09:00 MYT
April 3, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Khairul Aming, mengakui beliau menerima secara terbuka teguran dan nasihat yang diberikan berhubung isu penggunaan minyak masak berlebihan dalam masakannya.
Ia sejurus tular di Twitter, seorang pakar kesihatan menegur kaedah masakannya yang dianggap kurang sihat dan berisiko kepada mana-mana individu.
Bagaimanapun, selebriti masakan media sosial itu membalas kritikan berkenaan di akaun Instagram, memberi penjelasan dari perspektif individu berlebihan berat badan dan perspektif pencipta kandungan.
Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu juga sempat berkongsi perjalanan penurunan berat badannya dengan penjagaan pemakanan dan aktiviti senaman.
Selain itu, pempengaruh dengan 3.1 juta pengikut di TikTok itu juga berkata, sebagai pempengaruh masakan di media sosial, beliau perlu menunjukkan cara penyediaan makanan yang betul dan cukup dengan bahan agar tidak menyimpang daripada resipi yang asal.
"Pertamanya, kita boleh kurangkan minyak, kita boleh tukar resipi, kita boleh tukar bahan, tapi ia akan jadi tak sedap macam original.
"Kalau kita nak sambal yang sedap kita kena masak dengan minyak yang banyak supaya ia pecah minyak. Kalau nak ayam goreng yang juicy dan crispy, kena deep fry dan goreng dengan minyak yang banyak.
"Kalau nak mac and cheese yang creamy kena lebihkan keju. Memang itu caranya. Kalau kita nak ubah, boleh, tapi dia tak jadi macam original. Itu sahaja," ujarnya.
Tambahnya lagi, menjadi tanggungjawab beliau dalam memastikan setiap resipi yang dihasilkan adalah tepat dan tidak dipersoalkan oleh mana-mana individu.
Namun, beliau mengingatkan orang ramai untuk mengawal pengambilan makanan jika dikhuatiri menu tersebut boleh mendatangkan risiko kesihatan.
"Saya tunjuk kena pakai berapa sudu gula, berapa banyak minyak semua itu, sebab saya nak bagi yang realiti. Inilah cara sebenar penyediaannya di luar sana,
"Jadi, kalau saya ubah resipi dan jadi tak sedap, orang akan maki saya balik. So, I cannot win, I cannot please anyone.
"Tetapi, paling penting, apabila makanan itu sudah siap, anda semua boleh kawal portion makan itu," jelas Khairul Aming.
Terdahulu, tular di Twitter, Dr Rafidah Abdullah menasihati Khairul Aming supaya mengurangkan masakan berasaskan goreng dan penggunaan minyak yang banyak.
Menurutnya, ia dikhuatiri mempengaruhi amalan pemakanan yang kurang sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Ciapan nasihat itu mendapat pelbagai reaksi warganet di Twitter sambil ada yang menyifatkan nasihat itu tidak memadai berikutan Khairul Aming hanya menjalankan tugasnya sebagai pempengaruh masakan di media sosial.