'Saya terikut bekas suami' - Ibu muda 19 tahun antara ditahan positif dadah

Ridzal Abdullah
Mac 28, 2018 13:02 MYT
Antara suspek-suspek yang ditahan dalam operasi tersebut. - Foto Astro AWANI/Ridzal Abdullah
Seorang ibu tunggal berumur 19 tahun dan mempunyai bayi berusia sebulan antara 19 suspek yang ditangkap kerana didapati positif dadah dalam Operasi 'Ops Sarang' di Felda Umas, Tawau, Sabah pada lewat petang Selasa.
Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, Ops Sarang tersebut dijalankan oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Operasi tersebut turut disertai oleh pegawai dan anggota dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Tawau, Polis Bantuan Felda dan Strike Team.
Operasi memberi penumpuan menggempur sarang-sarang penagihan dadah di dalam ladang sawit Felda Umas dan seramai 32 orang telah diperiksa 19 daripada mereka didapati positif dadah hasil ujian air kencing.
Astro AWANI sempat menemubual salah seorang daripada yang ditangkap hanya dikenali sebagai Rachel merupakan ibu tunggal berusia 19 tahun dan mempunyai anak berusia sebulan.
"Saya terikut dengan bekas suami saya dan terjebak menggunakan dadah akibat terikut. Sekarang kami sudah tiada hubungan dan saya masih gunakannya (dadah)," katanya.
Kesemua suspek kini direman di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
#Akta Dadah Berbahaya #Felda Umas #ibu tunggal #Ops Sarang #Rachel #Tawau
;