Saya terdengar bunyi dentuman seperti guruh, rupanya runtuhan gua batu kapur - Penduduk

Muhafandi Muhamad
November 8, 2020 13:25 MYT
Bagaimanapun, tidak ada penduduk yang cedera dalam runtuhan batu yang mengejutkan itu. - Astro AWANI
MERAPOH: "Ketika kejadian saya tersedar apabila dengar bunyi dentuman kuat sepertu guruh. Apabila saya bangun dan lihat keluar ada batu runtuhan dipercayai dari gua batu kapur berhampiran rumah kami."
Demikian cerita seorang penduduk kampung, Zulkifli Zakaria mengenai kejadian runtuhan gua batu kapur berhampiran rumah mereka di Kampung Kubang Rusa, Merapoh awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Zulkifli Zakaria bersama rakan serumahnya lena tidur sebelum terdengar dentuman kuat.
Menyedari akan kejadian itu, Zulkifli yang merupakan seorang penoreh getah segera membangunkan rakannya yang sedang tidur.
"Bila saya lihat sahaja ada batu-batu runtuhan saya segera membangunkan rakan yang sedang tidur. Takut la juga jika ada runtuhan lagi dan rumah kami akan tertimbus," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Tinjauan Astro Awani di kawasan itu mendapati lebih 40 batu besar jatuh di kawasan berhampiran dan berlaku hakisan serius di gua berkenaan.
Situasi itu meresahkan penduduk tempatan kerana bimbang berlaku runtuhan susulan.
Sementara itu, pemandu pelancong, Mohd Zulkifli Daud, terdapat 140 gua batu kapur di kawasan Merapoh, Pahang dan hanya tujuh sahaja yang dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pelancongan.
"Kejadian runtuhan gua batu kapur berhampiran Kampung Kubang Rusa ini adalah pertama kali terjadi. Sangat terkejut dan risau apabila melihat runtuhan batu besar macam ini," katanya.
#Gua #batu kapur #runtuh #hakisan #Merapoh #Pahang #Kampung Kubang Rusa
;