'Saya #TeamSSP' - KJ terima dos ketiga, akan umum suntikan penggalak kepada penerima AZ
Hasimi Muhamad
Oktober 29, 2021 11:15 MYT
Oktober 29, 2021 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan pemberian suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada penerima vaksin jenis AstraZeneca (AZ) dalam masa terdekat.
Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi Twitter hari ini berkata, pengumuman tersebut akan turut membabitkan pilihan jenis vaksin lain untuk pemberian dos penggalak.
"Sebagai contoh, mereka yang mempunyai alahan dan tidak boleh mengambil mRNA (seperti Pfizer-BioNTech) boleh menerima vaksin Sinovac atau AZ untuk dos penggalak mereka," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan sesetengah pihak berhubung kaedah pemberian vaksin campuran atau 'heterologus vaccination'.
Khairy menambah, penerima tidak perlu memohon untuk menerima dos penggalak, sebaliknya individu yang layak berdasarkan selang masa yang disyorkan akan menerima pemberitahuan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan telah menerima suntikan penggalak vaksin COVID-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, penerima vaksin Sinovac akan disyorkan menerima suntikan vaksin jenis Pfizer selepas tiga bulan melengkapkan dos kedua.
"Cuma hendak meyakinkan semua orang tentang dos penggalak secara heterologous, saya adalah penerima (vaksin) Sinovac.
"Sebelum saya menghadiri mesyuarat WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), saya telah menerima suntikan penggalak Pfizer.
"Jadi saya kini #TeamSSP! Semua selamat, semuanya baik. #LindungDiriLindungSemua," ujarnya merujuk kepada campuran dua dos vaksin Sinovac dan satu dos vaksin Pfizer yang diambilnya.
Ahad lalu, Khairy berlepas ke Jepun bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Ke-72 (WPRCM) di Himeji bermula 25 hingga 29 Okt.
Dalam masa yang sama, Khairy berkata walaupun dos penggalak tidak diwajibkan ketika ini bagi mereka yang telah lengkap menerima dua dos, namun ia sangat disyorkan.
Sebelum ini Khairy menjadi individu pertama di negara ini yang menerima suntikan vaksin Sinovac bagi mencegah COVID-19, di Pusat Penerimaan Vaksin Hospital Rembau.
Terdahulu, KKM memutuskan untuk melanjutkan pemberian dos penggalak Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada individu yang sudah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan yang lalu.
Sebagai permulaan, perlaksanaan pemberian dos penggalak bagi penerima vaksin Sinovac yang layak dimulakan pada 22 Okt lalu secara berfasa di seluruh negara.